Home Nasional Ka Siong sedia sahut cabaran debat, kata Azhar

Ka Siong sedia sahut cabaran debat, kata Azhar

resignation resign Speaker of Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun. Perikatan Nasional PN majority support Muhyiddin face mask MP Members of Parliament MPs
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sedia menyahut seruan untuk berdebat dengan Ahli Parlimen (PH-Bagan), Lim Guan Eng mengenai dasar kabotaj negara.

Perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun selepas Guan Eng bangun bertanyakan sama ada Ka Siong sudah bersedia menyahut seruan debatnya sebelum sesi pertanyaan-pertanyaan menteri bermula di Ddwan Rakyat, pagi ini.

“Saya sudah bawa kepada menteri dan menteri sudah memberi ‘feedback’ (maklum balas), beliau sedia menanti dan tidak akan lari (berdebat) iaitu selepas Kabinet memuktamadkan dasar kabotaj dalam bulan ini.

“Maka beliau akan beri tarikh sesuai untuk kupas (isu) ini dengan Bagan (Guan Eng) di mana-mana saluran media dan televisyen dalam bahasa kebangsaan,” katanya.

Azhar memberitahu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen (BN-Air Hitam) bersedia menyahut seruan debat itu yang boleh diikuti secara langsung di saluran stesen televisyen dan saluran media.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mencadangkan 23 Oktober ini sebagai tarikh debat berkenaan, yang mana tempat dan masanya akan ditetapkan oleh Dr Ong Kian Ming (PH-Bangi).

Kelmarin, Azhar ketika mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat menawarkan diri untuk menanyakan kepada Ka Siong berhubung cabaran Guan Eng berdebat mengenai dasar kabotaj.

Pada 30 September lalu, Ka Siong secara terbuka mencabar Guan Eng untuk berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.

Cabaran itu dibuat susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat oleh Ka Siong berhubung isu terbabit di Parlimen. – MalaysiaGazette