KUALA LUMPUR – Kerajaan masih meneruskan perbincangan mengenai larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat cina di ibu negara.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, langkah itu adalah bagi mencapai kata sepakat daripada semua pihak terbabit sebelum penguatkuasaan larangan penjualannya dilaksanakan.
Katanya, keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menangguhkan pelaksanaan penguatkuasaan garis panduan itu hingga 31 Oktober ini adalah bagi memberi ruang untuk perbincangan lanjut.
“Perjumpaan ini belum habis lagi… kita bukan sahaja perlu fikir tentang (kepentingan) penjual, malah tentang orang yang membeli. Kerajaan Keluarga Malaysia menghormati orang Islam dan bukan Islam.
“Saya tak mahu buat keputusan dengan keadaan Yang Berhormat (Teresa Kok) terbuku di hati (tidak puas hati) dan saya pun tak seronok untuk membuat keputusan,” katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Shahidan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (DAP-Seputeh), Teresa Kok sama ada Kementerian Wilayah Persekutuan meneruskan perbincangan dengan semua pihak terbabit dalam isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, sebelum ini terdapat beberapa perjumpaan bersama pihak terbabit termasuk Teresa untuk mendapatkan pandangan mengenai Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK).
Ujarnya, jumlah LMK yang diluluskan sebelum ini adalah mencukupi, namun penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan kerana penjualan minuman keras secara terbuka adalah tidak wajar.
“Ini melibatkan (masalah) anak muda membeli minuman itu dan terdapat juga minuman yang tidak dibenarkan Kementerian Kesihatan dijual di mana-mana.
“Ini membimbangkan dan kita terpaksa adakan undang-undang untuk menyekat kemudahdapatan minuman itu,” katanya.
Beliau berkata, walaupun terdapat larangan jualan minuman keras di premis tertentu, masyarakat bukan Islam masih boleh mendapatkan minuman itu di lokasi yang dibenarkan seperti hotel, pub, bar dan kedai runcit yang dikhususkan untuk menjual produk itu. – MalaysiaGazette