Home Nasional Kerajaan rampas bot, denda nelayan asing hampir RM456 juta

Kerajaan rampas bot, denda nelayan asing hampir RM456 juta

Bot nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dengan 25 kru ditahan pasukan Maritim Pahang. - Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 22,384 pemeriksaan telah dilaksanakan dan 416 tangkapan berjaya dilakukan sepanjang tempoh operasi Op Naga dilaksanakan sehingga 17 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 220 kes melibatkan Bot Nelayan Asing (BNA) daripada Vietnam.

“Kerajaan juga telah berjaya memperoleh sebanyak RM455,947,100 hasil daripada nilai rampasan bot dan denda yang dikenakan ke atas pemilik BNA terbabit,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai-PH) yang minta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan apakah Op Naga masih diteruskan bagi menyelamatkan hasil negara dan membela nasib nelayan terutama dalam mendepani krisis Covid-19.

Ismail menambah, Jemaah Menteri pada mesyuarat pada 24 April 2019 telah bersetuju KDN mengetuai pasukan petugas yang dianggotai oleh agensi-agensi berkaitan bagi menjalankan operasi secara bersepadu dalam menangani isu pencerobohan BNA serta menggelakkan kehilangan hasil sumber laut negara
dengan melancarkan Op Naga.

Jelas beliau, kerjasama strategik antara pelbagai agensi melalui Op Naga itu masih diteruskan.

“Op Naga berupaya membantu dalam membanteras kegiatan pencerobohan BNA terutamanya dari negara Vietnam yang sangat aktif merompak hasil laut di perairan negara tidak kira di perairan pantai timur ataupun di perairan Sabah dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette