KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat penilaian risiko semasa jangkitan Covid-19 di dalam negara ini sebelum kerajaan boleh membuka pintu sempadan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KKM juga akan mengambil kira maklumat situasi Covid-19 dari negara asal pengembara sebelum membenarkan kemasukan pengembara.
Jelas beliau, kemasukan warga negara dan warga asing seperti pelajar, diplomat, golongan professional serta pelabur asing telahpun mula 1 Jun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ketika itu.
“Bagaimanapun, kebenaran masuk ini adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuklah keperluan menjalani kuarantin wajib di pusat-pusat kuarantin yang telah disediakan.
“Di bawah Pelan Pemulihan Negara, kerajaan sentiasa menambah baik SOP berkaitan perkara ini, dan bermula pada 12 Ogos lalu, pengembara warganegara dan bukan warganegara yang telah menerima imunisasi lengkap boleh membuat permohonan untuk menjalani kuarantin wajib di rumah atau tempat kediaman.
“Namun, kebenaran ini hanya boleh diberikan tertakluk kepada penilaian risiko oleh pihak KKM dan pemohon masih perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum diberikan kebenaran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Senator Datuk Razali Idris di Dewan Negara di sini hari ini.
Razali bertanya sejauh manakah persediaan bagi negara ini membuka pintu sempadan negara sebaik kadar kes harian Covid-19 berkurangan dan apakah wajar SOP membenarkan pengembara tempatan dan warga asing lengkap dua dos vaksin yang pulang atau tiba dari luar negara, menjalani kuarantin wajib di rumah sahaja.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menambah, persediaan melalui garis panduan terperinci serta penilaian risiko oleh KKM akan dijalankan terhadap setiap pengembara berdasarkan kepada permohonan untuk kuarantin di rumah atau tempat kediaman.
Kerajaan jelas beliau, sentiasa memberikan keutamaan terhadap pematuhan SOP, meningkatkan penerapan amalan kawalan kesihatan awam dan penekanan kepentingan suntikan imunisasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Secara keseluruhannya, pihak Kerajaan telah melakukan pelbagai persediaan serta kelonggaran yang diberikan dibuat secara berhati-hati dengan mengambil kira perkembangan di seluruh dunia dan juga keutamaan untuk pemulihan ekonomi.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua rakyat Keluarga Malaysia, kerana telah bersama-sama pihak kerajaan dalam usaha pemberian vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
“Saya jangka, sedikit masa lagi, sasaran kita untuk mencapai 90 peratus penduduk divaksinasi akan dapat dicapai,” katanya. – MalaysiaGazette