Home Nasional Tiada keperluan kemuka laporan MA63 kepada PBB

Tiada keperluan kemuka laporan MA63 kepada PBB

Maximus Ongkili

KUALA LUMPUR – Tiada keperluan untukĀ  mengemukakan laporan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili berkata, perkara itu sama sekali tidak berbangkit dan tiada asas memandangkan Malaysia sebuah negara berdaulat dan boleh menyelesaikan isu-isu dalamannya sendiri.

“Malaysia adalah negara berdaulat, kita urus hal kita,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan (Warisan) pada sesi perbahasan RMK-12 sebelum ini.

MA63 adalah satu perjanjian yang ditandatangani antara Britain, Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 9 Julai 1963 dan telah diiktiraf PBB.

Sementara itu, Ongkili berkata, ia merupakan kali pertama sepanjang 11 RMK dibentang, bab khusus mengenai hal berkaitan Sabah dan Sarawak dimasukkan dalam RMK-12.

Ia sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan mengatasi halangan kelewatan pembangunan dan infrastruktur, katanya. – MalaysiaGazette