Home Nasional Tiga syarikat bekal kit ujian saringan kendiri, nilai kontrak RM9.72 juta

Tiga syarikat bekal kit ujian saringan kendiri, nilai kontrak RM9.72 juta

Senior Minister of Education Datuk Radzi Jidin teachers students school Covid-19 vaccine
Datuk Radzi Jidin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan Surat Setuju Terima pada 13 September 2021 kepada tiga syarikat yang berjaya dalam membekalkan kit ujian saringan kendiri Covid-19 dengan nilai kontrak keseluruhan
berjumlah RM9.72 juta.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, penghantaran kit ujian saringan kendiri itu telah disempurnakan oleh semua syarikat ke-140 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh negara pada 25 September lalu.

Jelas beliau, pembekalan kit ujian saringan kendiri itu adalah untuk sesi pembukaan sekolah pada Oktober ini sehingga Disember depan.

“Memandangkan kit ujian saringan kendiri Covid-19 ini perlu dibekalkan di sekolah sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober lalu, atas faktor kesegeraan, KPM telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan perolehan ini secara rundingan terus pada 9 Ogos lalu.

“Permohonan ini diluluskan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) pada 1 September lalu dan di antara syarat yang ditetapkan MoF kepada KPM adalah syarikat-syarikat yang dilulus dan disenaraikan oleh Medical Devices Authority (MDA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); berdaftar dengan MoF di bawah kod bidang yang bersesuaian.

“Syarat lain adalah, pemilihan syarikat adalah berdasarkan harga tawaran terendah serta menguntungkan Kerajaan dan KPM juga boleh melantik melebihi satu syarikat bagi melaksanakan perolehan ini sama ada secara pengezonan atau tidak,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa-PH) yang meminta butiran proses perolehan kit ujian kendiri untuk sekolah-sekolah termasuk kos yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, selaras dengan kelulusan MoF dan berdasarkan keperluan jumlah stok yang tinggi iaitu sebanyak 800,000 unit kit ujian saringan kendiri Covid-19 yang perlu penghantaran segera ke 140 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seluruh negara, kaedah pembekalan yang dicadangkan adalah mengikut zon.

Jelas beliau, cadangan pembekalan mengikut zon ini dapat memastikan syarikat boleh membekal peralatan kit ujian dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Di samping itu menurutnya, syarikat juga dapat memberikan tumpuan dan memastikan kelancaran pengurusan penghantaran dengan cekap dan berkesan.

“Berdasarkan semakan pengkalan data MDA KKM pada 3 September lalu, terdapat 16 syarikat yang dilulus dan disenaraikan oleh MDA, KKM.

“Daripada 16 syarikat tersebut, empat syarikat tidak berdaftar dengan MoF di bawah kod bidang yang bersesuaian dan 5 syarikat lagi membekalkan kit yang menggunakan kaedah selain daripada ujian air liur (saliva).

“Oleh yang demikian, hanya tujuh syarikat menepati kriteria yang ditetapkan oleh MoF dan KPM. Enam daripada tujuh syarikat ini telah mengemukakan cadangan kepada KPM manakala satu syarikat lagi gagal mengemukakan cadangan sebelum tarikh yang ditetapkan iaitu 6 September lalu.

“Susulan itu, pada 10 September lalu, Jawatankuasa Rundingan Hargatelah bersidang dan membuat rundingan dengan enam syarikat tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette