KUANTAN – Yayasan Pahang komited menjayakan projek komuniti dan merancang membeli dua bangunan bernilai RM1.5 juta untuk pembangunan modal insan bagi golongan rentan.
Ketua Pegawai Operasi Yayasan Pahang, Abdul Razak Abu Musa Saari berkata, pihaknya akan mengambialih bangunan di Jalan Wong Ah Jang di sini bagi tujuan itu.
Menurutnya, antara fokus program intervensi pendidikan komuniti rentan juga akan diperluaskan lagi dengan program Baca Cepat Kawanku (BCK) membantu murid sekolah rendah untuk mengenal huruf dan membaca.
Selain itu, pihaknya juga menyediakan tadika tahfiz dan menyediakan kemudahan berkelas tinggi kepada anak-anak golongan rentan.
“Kami dalam proses rundingan untuk mengambil dua bangunan komuniti rentan untuk membantu mengubah nasib dan meningkatkan taraf hidup komuniti rentan di bandar raya ini melalui pendidikan.
“Seramai 50 orang anak-anak komuniti rentan yang tinggal di sekitar Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar yang menyasarkan murid-murid berusia tujuh hingga 12 tahun menggunakan kaedah BCK.
“BCK mengandungi 12 konstruk berupaya membantu murid untuk membaca dalam tempoh yang singkat dengan tunjuk ajar jurulatih utama BCK Negeri Pahang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Abdul Razak, kelas diadakan di Surau Komuniti Al-Hidayah, Jalan Wong Ah Jang yang diuruskan oleh Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan.
Perancangan dan program tersebut turut mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuantan serta Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan.
“Selain itu, Yayasan Pahang juga akan mengadakan kelas tuisyen percuma kepada anak-anak yang terlibat dengan kelas peperiksaan.
“Kami juga mencari mereka yang berminat untuk menyertai kursus kemahiran bagi meningkatkan ilmu dan berupaya mencari pendapatan selain menawarkan kursus jaminan kerjaya.
Untuk rekod, sepanjang 38 tahun penubuhannya, Yayasan Pahang telah berjaya menyumbangkan RM1.363 bilion kepada seramai 1,637,385 penerima dalam bentuk biasiswa, pinjaman pendidikan dan program pendidikan, sukan dan kebudayaan serta kemasyarakatan. – MalaysiaGazette