Home Nasional Hanya pandu uji, PDRM belum muktamad pembelian BMW, VW

Hanya pandu uji, PDRM belum muktamad pembelian BMW, VW

Lima kenderaan mewah itu yang masih di peringkat pandu uji oleh PDRM.

KUALA LUMPUR – Polis akan memandu uji kereta BMW dan Volkswagen yang diterimanya untuk mendapatkan maklum balas sama ada ia sesuai untuk kegunaan dan penugasan pasukan itu atau sebaliknya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Komisioner Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya telah menerima lima unit kenderaan mewah BMW dan Volkswagen.

“Kelima-lima unit kereta itu dilengkapi dengan aksesori sebagai kenderaan pasukan polis, diterima pada 7 Oktober lalu hanyalah bertujuan untuk uji cuba atau peringkat pembuktian konsep (POC) tanpa sebarang perjanjian atau urusan pembelian,” katanya dalam kenyataan terbaharu selepas berita itu tular di media sosial semalam.

Menurut beliau, pandu uji itu adalah selama dua minggu, melibatkan kenderaan model BMW M3, BMW X3 dan Volkswagen Tiguan.

Kenderaan-kenderaan itu akan digunakan oleh Jabatan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dan Cawangan Pengiring PDRM.

“PDRM sedia maklum akan kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan dan tawaran yang diberikan oleh syarikat berkenaan adalah atas prinsip hanya untuk uji cuba, sebelum sebarang keputusan untuk penggunaannya diputuskan oleh PDRM,” ujar beliau. – MalaysiaGazette