PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus memberikan sokongan terhadap inisiatif memperkasakan program pembangunan sukan permotoran negara, termasuk dari aspek penganjuran kejohanan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, sokongan itu bagi memastikan pelumba muda terus diberi peluang menggilap bakat dan meraih seberapa banyak pengalaman menerusi platform yang berkesan.
“Pertandingan ini selaras dengan pelan pembangunan sukan permotoran dan merupakan satu strategi kelestarian dalam membentuk ekosistem sukan permotoran dua roda dengan hala tuju yang jelas dan komprehensif, dalam membina atlet-atlet yang berkualiti dan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran kejohanan Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIM) MiniGP Malaysia Series 2021, yang akan berlangsung bulan ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Majlis pelancaran itu dihadiri Ketua Pengawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif; Setiausaha Agung Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Muizz Azli dan Prinsipal pasukan Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali.
Seramai 13 pelumba akan berentap dalam empat pusingan FIM MiniGP Malaysia Series 2021 dengan pusingan pertama dan kedua akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini, sementara pusingan ketiga dan keempat dijadualkan pada 23 dan 24 Oktober.
Keempat-empat pusingan itu akan diadakan di Litar Kart Antarabangsa Sepang. – Bernama