Home Utama Keputusan isytihar darurat di Melaka dibuat minggu depan

Keputusan isytihar darurat di Melaka dibuat minggu depan

Ismail Sabri Yaakob proclamation of emergency Melaka state election
Prime Minister, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob at a news conference after the prelaunch of Keluarga Malaysia at Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 08 OCTOBER 2021. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 08 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuat keputusan minggu depan sama ada mahu menasihatkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk melaksanakan darurat di negeri Melaka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, difahamkan baginda sedang dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.

Ia termasuk Peguam Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya.

”Jadi kita tunggu taklimat itu kepada pemangku YDPA,” katanya menjawab pertanyaan wartawan mengenai sama ada kerajaan bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka atau tidak.

Ismail berkata demikian selepas mempengerusikan prapelancaran ‘Keluarga Malaysia’ di Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan membuat keputusan mengenai isu itu berdasarkan kepada perkembangan yang diberikan kepada Istana Negara.

“Kabinet akan membuat keputusan minggu depan,” katanya lagi.

Selasa lalu, SPR  menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 pada 4 Oktober daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf dalam sidang media khas mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Oktober setelah dipersetujui Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam dan Proklamasi Pembubaran DUN Melaka yang ke-14 diwartakan pada Selasa.

Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; dan ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad yang mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat di seluruh Sarawak berkuat kuasa 2 Ogos sehingga 2 Februari 2022, sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan pada 31 Julai lalu. – MalaysiaGazette

+ posts