Home Nasional Lebih 7,000 kekosongan jawatan di Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso esok

Lebih 7,000 kekosongan jawatan di Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso esok

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan Karnival Kerjaya UP (Urban Poor) Jubli Emas Perkeso yang menawarkan lebih 7,000 kekosongan jawatan kepada pencari kerja, esok.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan karnival bersempena sambutan jubli emasnya itu bertujuan membantu golongan rentan bandar mendapatkan pekerjaan khususnya ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) agar masalah pengangguran dapat ditangani segera.

“Berlainan dengan siri Program Kerjaya UP yang pernah dilaksanakan secara fizikal sebelum ini, Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso ini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dengan penglibatan 71 buah majikan di enam buah negeri iaitu Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Johor, Terengganu dan Sabah serta dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.

 Menurut Perkeso, pendaftaran ke sesi temu duga Karnival Kerjaya UP Jubli Emas Perkeso itu adalah percuma dan terbuka kepada semua golongan pencari kerja.

Selain itu, pencari kerja yang bukan pencarum Perkeso seperti graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal juga boleh membuat permohonan insentif SIP (Sistem Insurans Pekerjaan) Prihatin 2.0 dengan mengemukakan bukti penyertaan mereka dalam mana-mana sesi temu duga yang dijalankan di karnival itu.

Perkeso berharap pencari kerja daripada golongan B40 bandar akan menggunakan peluang itu untuk mendapatkan pekerjaan demi kelestarian hidup masing-masing.

Pencari kerja yang berminat boleh mendaftar di Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my atau hubungi nombor Careline PERKESO 1-300-22-8000 atau 03-8091 5300. – MalaysiaGazette