Home Nasional Pemandu Lamborghini mengaku bersalah langgar enam kenderaan lain

Pemandu Lamborghini mengaku bersalah langgar enam kenderaan lain

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta Lamborghini Gallardo Superleggera yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan lain di Jalan Tun Razak menghala ke bulatan Pahang, di sini, 8 September lalu mengaku bersalah di Mahkamah Trafik Jalan Duta, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Superintenden Sarifudin Mohd Salleh dalam kenyataan memberitahu, dia dituduh di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.

Mahkamah mengenakan hukuman denda sebanyak RM9,000 dan penjara wajib selama dua minggu daripada tarikh tertuduh ditangkap dan lima bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan, ujarnya.

Menurutnya, pemandu kereta yang berusia 42 tahun itu juga tidak dibenarkan mengambil lesen memandu selama lima tahun dan kesalahan itu disahkan pada lesen memandu.

Dalam kejadian 8 September lalu, pemandu kereta itu dipercayai hilang kawalan ketika menghadapi kesesakan lalu lintas di jalan tersebut sebelum merempuh beberapa kereta termasuk Proton Perdana yang dipandu seorang wanita berusia 53 tahun sehingga terbalik.

Sebelum ini, Sarifudin berkata, semua pemandu kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Paemandu kereta Lamborghini tersebut didapati bebas daripada penggunaan terlarang setelah melakukan saringan ujian air kencing dan alkohol. – MalaysiaGazette