Home Politik PH Melaka masih harap dapat adakan pertemuan dengan Tun Mohd Ali

PH Melaka masih harap dapat adakan pertemuan dengan Tun Mohd Ali

Istana Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 05 OKTOBER 2021.

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka masih meletakkan harapan tinggi untuk bertemu Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam walaupun masih belum menerima sebarang panggilan dari Istana Melaka setakat ini.

Pengerusinya, Azly Zahari berkata, dalam situasi genting ini, pertemuan tersebut amat penting untuk diadakan secepat mungkin agar kemelut politik sekarang dapat dileraikan dengan cara terbaik susulan negara masih berdepan cabaran pandemik COVID-19.

“Setakat ini tiada makluman lagi, belum ada apa-apa panggilan dari Istana Melaka. Jadi bila jumpa di Istana (Melaka), kita boleh bincang dan lihat apa-apa kaedah yang boleh digunakan, kembali stabilkan politik negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Isnin lepas, PH Melaka telah menghantar surat permohonan kunjung hormat ke atas Tun Mohd Ali bagi membincangkan langkah terbaik menyelesaikan kemelut politik di negeri berkenaan susulan empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN itu ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu ), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Berikutan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kemudiannya mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada Isnin selepas Tun Mohd Ali mendapat nasihat daripada Sulaiman untuk berbuat demikian.

Sementara itu, ditanya mengenai status permohonan semakan proses dan fakta keabsahan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Adly menjelaskan, pihaknya akan membawa kes tersebut ke mahkamah pada minggu hadapan.

“Kita masih lagi dalam proses mengumpul dan menyiapkan dokumentasi berkaitan dan insya-Allah kes berkenaan akan difailkan minggu depan,” katanya. – Bernama