Home Ekonomi Terbitan Sukuk Wakalah bernilai RM750 juta BSN catat lebihan langganan 3.48 kali

Terbitan Sukuk Wakalah bernilai RM750 juta BSN catat lebihan langganan 3.48 kali

Logo Bank Simpanan Nasional (BSN)

KUALA LUMPUR – Tawaran Sukuk Wakalah RM750 juta Bank Simpanan Nasional (BSN), terbitan pertama di pasaran modal telah mendapat sambutan memberangsangkan dengan mencatatkan lebihan langganan sebanyak 3.48 kali.

BSN berkata jumlah nilai perolehan kontrak dicatatkan adalah bernilai RM2.61 bilion daripada lebih 30 akaun terdiri daripada pengurus dana, institusi kewangan, resit pengecualian terapung beranjak panjang (LIFER) dan agensi kerajaan.

Sukuk bernilai RM750 juta di bawah Program Sukuk Wakalah BSN yang ditubuhkan baru-baru itu membabitkan nilai nominal sehingga RM3.5 bilion.

“Kejayaan pelancaran Sukuk Wakalah itu menandakan satu lagi kejayaan penting bagi BSN berikutan ia adalah terbitan pertama bank ini dalam pasaran modal,” kata Ketua Eksekutif BSN, Jay Khairil dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, hasil dari terbitan sukuk itu akan digunakan untuk aktiviti pembiayaan patuh Syariah BSN terdiri daripada pembiayaan semula/ pembiayaan masa depan sedia ada; modal kerja dan tujuan korporat lain.

Tawaran itu berjaya ditetapkan pada 7 Oktober berdasarkan kepada proses penetapan harga sehari, ia telah mendapat sambutan hebat daripada pelbagai pelabur sehingga menghasilkan urus niaga bernilai RM750 juta, lebih tinggi berbanding saiz awalnya iaitu RM500 juta.

Peringkat Sukuk Wakalah untuk tempoh tiga tahun, lima tahun dan tujuh tahun itu berharga pada 2.93 peratus, 3.47 peratus dan 3.89 peratus, dua hingga tiga mata asas lebih tinggi daripada petunjuk harga awal yang lebih rendah.

Program Sukuk Wakalah telah diberi penarafan akhir AAA oleh RAM Rating Services Bhd. – MalaysiaGazette