Home Politik GPS sedia bersama pengundi muda dalam PRN Sarawak

GPS sedia bersama pengundi muda dalam PRN Sarawak

Syarikat penerbangan perlu memainkan peranan mereka dalam mengurangkan kenaikan harga tiket ke Sarawak, bagi membantu rakyat negeri itu pulang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 selain untuk musim cuti bulan hadapan, kata Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS).- Gambar hiasan.

KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak takut untuk berdepan pengundi muda pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dan menyifatkan kehadiran mereka sebagai pewaris yang menentukan masa depan.

Penolong Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdullah Saidol berkata, kerajaan negeri yang diasaskan oleh GPS sudah pun mengutamakan pandangan generasi muda sebelum rang undang-undang bagi membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun mengundi diluluskan di Parlimen.

“Kita menghormati wawasan dan pandangan pengundi muda yang akan menjadi pewaris masa depan untuk terus membangunkan negeri serta mempertahan hak dan kedudukan istimewa Sarawak dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak itu berkata demikian selepas Istiadat Penganugerahan Bintang Kebesaran Negeri Sarawak sempena sambutan ulang tahun ke-85 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud hari ini.

Isu GPS dibangkitkan oleh pembangkang iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mendakwa ia cuba mempercepat PRN12 kerana bimbang pengundi berumur 18 tahun layak mengundi jika pilihan raya itu ditangguhkan lagi.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh dalam kenyataan semalam memetik sumber yang boleh dipercayai sebagai menyebut ada usaha dalam GPS untuk mempercepat PRN12 bagi mengelakkan penglibatan pengundi 18 tahun dalam pilihan raya itu.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi di Sarawak baru-baru ini yang membenarkan Undi-18 tidak memihak kepada GPS pada PRN12.

“GPS tidak sepatutnya memfokus kepada pilihan raya sebaliknya perlu menggunakan masa yang ada untuk bekerja dengan tekun bagi menguruskan varian Delta dan mengurangkan kesannya kepada rakyat,” katanya.

Abdullah pula berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan RM5.3 bilion menerusi tujuh pakej bantuan kepada rakyat di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang.

“Tidak ada negeri lain dalam negara ini yang berkemampuan untuk mengeluarkan peruntukan sebesar itu untuk warga negeri mereka,” katanya. – Bernama