Home Nasional Kolej Yayasan Saad Piala Cabaran Perdana Menteri NSC 2021

Kolej Yayasan Saad Piala Cabaran Perdana Menteri NSC 2021

KUALA LUMPUR – National Science Challenge (NSC) 2021 melabuhkan tirainya dengan mengangkat kumpulan daripada Kolej Yayasan Saad, Melaka sebagai juara Piala Cabaran YAB Perdana Menteri yang berlangsung hari ini.

Kolej Yayasan Saad telah menewaskan empat pasukan lain di pertandingan akhir dan membawa pulang trofi Piala Pusingan Cabaran YAB Perdana Menteri, hadiah wang tunai bernilai RM6,000, sebuah komputer riba dan sijil.

Selain itu, juara akan turut mengikuti bengkel TheGreatLab Grand Design Challenge anjuran CREST.

Anugerah Khas Mikrobiologi Terbaik yang ditaja oleh Persatuan Mikrobiologi Malaysia yang diperkenalkan tahun ini milik Haziyah Azfar Hashim daripada Maktab Rendah Sains MARA Pasir Tumboh, Kelantan berdasarkan markah tertinggi bagi kuiz mikrobiologi yang diadakan sepanjang pertandingan berlangsung.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan berpandangan penganjuran NSC 2021 adalah bertepatan dengan matlamat kementerian itu untuk meningkatkan bilangan peratusan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“MOSTI mengambil berat mengenai peratusan pelajar dalam bidang STEM kerana bakat STEM akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sesebuah negara.

”Laporan Tahunan 2020 Kementerian Pendidikan Malaysia menunjukkan peratus pelajar STEM adalah 47.18% (20.51% Sains Tulen dan 26.67% TVET.

”Kita perlu meningkatkan peratusan ini agar kita boleh mencapai 60% pelajar dalam aliran STEM bagi memastikan negara mempunyai bekalan bakat STEM yang mencukupiā€, menurut beliau.

Menurut beliau, semua negara pada hari ini berlumba-lumba menghasilkan teknologi baharu yang lestari, mampu milik dan selamat sejajar dengan visi Sustainable Development Goals Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mahu dicapai pada tahun 2030.

Salah satu cara untuk mencapai visi ini adalah dengan membudayakan sains dan teknologi di kalangan para pelajar.

Menurut beliau, kerajaan melalui pelbagai agensinya sentiasa komited membantu membudayakan dan membangunkan masyarakat progresif yang mendukung sains dan teknologi.

PAda tahun ini, MOSTI melalui ASM telah menerima sejumlah 706 penyertaan daripada sekolah menengah di seluruh Malaysia bagi NSC 2021 dan mengunjurkan sekurang-kurangnya 1,000 penyertaan daripada kalangan pelajar sekolah menengah pada tahun hadapan.

Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail FASc pula berkata, para pemenang berpotensi mewakili negara dalam pertandingan-pertandingan lain di luar negara.

NSC merupakan wadah perjuangan MOSTI melalui ASM dalam menyediakan platform efektif serta membuka minda para pelajar agar bakat STEM di Malaysia dapat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

MOSTI dan ASM berharap agar pihak sekolah dan para pelajar bersemangat mengambil bahagian dalam pertandingan sebegini pada masa hadapan. – MalaysiaGazette