KOTA TINGGI – Proses pemutihan nelayan zon A akan dilakukan sekiranya terdapat nelayan yang tidak lagi aktif menangkap hasil, sekali gus memberi peluang kepada permohonan baharu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia susulan Jabatan Perikanan menerima kira-kira 16,000 permohonan daripada nelayan untuk mendapatkan lesen berkenaan.
Katanya, proses pemutihan juga akan dilakukan sekiranya pemegang lesen tidak memperbaharui lesen mereka dalam tempoh tiga tahun.
“Kita juga perlu anggarkan berapa jumlah tangkapan dengan menampung jumlah nelayan sedia ada, baru kita beri lesen.
“Sebelum itu, kita lakukan pemutihan, maknanya nelayan yang tidak lagi aktif kena tarik lesen, dan beberapa perkara yang digariskan dalam peraturan kita. Jika ada kekosongan, orang itu (nelayan) kita akan beri peluang,” katanya pada sidang media selepas melawat Jeti Kampung Sedili Kechil dan menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin di sini hari ini.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai jumlah nelayan pesisir pantai yang tidak mempunyai lesen.
Beliau berkata, pengeluaran lesen juga adalah berdasarkan kepada kajian yang dilakukan jabatan, antaranya densiti ikan yang berada di kawasan Zon A iaitu lima batu nautika dari pantai.
“Namun, didapati densiti ikan sudah banyak menurun, sebab itu penangkapan tidak boleh dibuat. Sekiranya dilakukan ia boleh menyebabkan habitat musnah,” katanya.
Untuk rekod, pengeluaran lesen nelayan bagi perikanan laut pantai termasuk nelayan pantai Zon A telah lama dibekukan oleh kerajaan bagi menjaga sumber perikanan.
Sementara itu, mengulas mengenai ancaman nelayan asing, Ahmad berkata kedatangan nelayan asing yang dikesan di negara ini adalah di kawasan Pantai Timur kerana lokasi berkenaan kaya dengan sumber perikanan namun, pihak penguat kuasa sentiasa giat melakukan pemantauan.
Ketika ditanya adakah Johor akan menerima peruntukan yang banyak menerusi Belanjawan 2022, beliau berkata peruntukan adalah mengikut keperluan dan permintaan.
Katanya, keperluan ketika ini adalah bagi memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi. – Bernama