Home Nasional Perjalanan rentas Tambak perlu aturan berbeza – MTF

Perjalanan rentas Tambak perlu aturan berbeza – MTF

Gambar hiasan.

SINGAPURA – Sebarang perjanjian mengenai perjalanan antara Johor dan Singapura terutama menerusi Tambak, perlu dilihat secara berbeza dengan aturan perjalanan udara kerana ia membabitkan jumlah yang tinggi.

Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian Singapura (MTF) mengenai COVID-19, Lawrance Wong pada sidang media secara maya hari ini berkata, aspek risiko agak berbeza daripada perjalanan udara dan perlu pertimbangan berbeza.

“Kita faham bahawa mungkin ada rakyat di kedua-dua Tambak mahu melawat keluarga atau berulang alik untuk kerja tetapi jumlah mereka yang akan menyeberangi Tambak boleh menjadi amat besar andai kita melihat kepada keadaan sebelum COVID-19,” kata Wong yang juga Menteri Kewangan republik itu.

Turut serta dalam sidang media itu adalah Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung; Menteri Perdagangan dan Industri, Gan Kim Yong; Menteri Pengangkutan, S Iswaran dan Pengarah Perkhidmatan Perubatan, Prof Madya Kenneth Mak.

Oleh kerana republik itu menyenaraikan Malaysia di bawah Kategori IV, risiko tinggi jangkitan COVID-19, Bernama mengemukakan soalan kepada MTF sama ada Singapura mungkin menimbang peraturan perjalanan yang berbeza untuk merentasi Tambak terutama penduduk Johor.

Bagaimanapun, Wong memberi jaminan bahawa Singapura sentiasa berbincang dengan rakan sejawatan di Malaysia berkaitan peraturan perjalanan udara dan darat.

“Kami akan terus mengemas kini langkah kami dengan sewajarnya,” katanya sambil menambah, republik itu sedang mengemas kini kategori negara dunia secara berkala setiap dua minggu sekali.

“Oleh kerana keadaan di Malaysia semakin baik, saya tidak ragu bahawa ia beralih dari Kategori IV, tidak lama lagi,” katanya.

Mengulas soalan sama, Menteri Kesihatan, berkata: “Ia sebenarnya memang harapan bersama kita dan saya fikir ia adalah kemahuan kedua-dua negara untuk membuka kembali sempadan secepat mungkin.”

“Gelombang yang melanda Malaysia kini pada aliran menurun. Kami masih di peringkat aliran menaik, tetapi marilah kita beharap supaya tidak lama lagi, kita dapat memulakan tindakan konkrit menyambung kembali dan membuka sempadan kita,” kata Ong.

Johor ketika ini meningkatkan program vaksinasi dengan harapan dapat membuka semula sempadannya dengan Singapura dan membenarkan pekerja memulakan perjalanan ulang alik mereka.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad baru-baru ini berkata, jawatankuasa teknikal mengenai pembukaan semula sempadan bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dicadangkan negara itu.

Hasni dilaporkan berkata, ia menjangkakan lebih 100,000 rakyat Malaysia masih di Singapura sejak sempadan ditutup pada Mac lalu.

Beliau juga berkata, peningkatan kes COVID-19 di Singapura tidak dilihat sebagai halangan terhadap usaha mereka untuk berbincang bagi membuka semula sempadan.

Dianggarkan kira-kira setengah juta orang dari kedua-dua negara menyeberangi Tambak setiap hari, laluan yang digelar lintasan darat paling sibuk di dunia sebelum pandemik COVID-19.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Iswaran berkata, Singapura terus berbincang dan berunding dengan beberapa negara.

“Kami memang berhasrat untuk terus membuka semula sempadan kami dengan berhati-hati dan tersusun, dengan harapan menyambung dan membuka semula sempadan. Sehubungan itu, sudah pasti sebagai jiran kami paling dekat, ia adalah bahagian penting dalam proses berterusan ini,” katanya.

Jumaat lalu, Kerajaan Malaysia menerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan COVID-19 sebelum ini membuat keputusan membenarkan Johor dimasukkan ke dalam senarai Fasa Tiga daripada Fasa Dua  menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) – Bernama