SETIU – Tiga kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika sedang mencari kepah bersama keluarga di muara sungai Kampung Mangkuk di sini petang semalam, ditemukan lemas awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Setiu DSP Afandi Hussin berkata, mayat pertama, Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemukan pasukan penyelamat pada 1.08 pagi pada jarak 800 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Mayat kedua yang ditemukan pada 1.47 pagi ialah adik Nur Amni Insyirah, Muhammad Aryan Faheem berusia 7 tahun, pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mayat pertama.
Dalam kejadian 5.30 petang semalam, tiga individu dewasa dan enam kanak-kanak dilaporkan berada di lokasi tersebut untuk berkelah dan mencari kepah.
Bagaimanapun, berlaku air pasang dengan cepat menyebabkan enam kanak-kanak itu hanyut namun tiga daripada mereka sempat diselamatkan.
“Kesemua mayat dihantar ke Hospital Setiu untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan memahami faktor pasang surut air di muara sungai untuk mengelakkan kejadian seumpama itu berulang lagi. – MalaysiaGazette