Home SISWA UM, SIRIM komersial penyelidikan dalam pasaran

UM, SIRIM komersial penyelidikan dalam pasaran

Simbolik MoU antara SIRIM dan UM.

KUALA LUMPUR – Hasil penyelidikan Universiti Malaya (UM) akan dikomersialkan oleh SIRIM Berhad ke dalam pasaran melalui transformasi idea kepada perniagaan yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Ini adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) di antara UM dan SIRIM Tech Venture Sdn Bhd (STV), anak syarikat milik penuh SIRIM yang akan membuka jalan dalam pelaksanaan inisiatif di antara pihak industri dan institusi pengajian tinggi.

Perjanjian ini ditandatangani oleh Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor bersama Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad.

Menurut Mohd Hamdi, perjanjian ini akan membawa hasil inovasi dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik Universiti Malaya ke dalam pasaran yang akan memberi impak kepada negara dan dunia.

“Kerjasama ini menandakan bermulanya cetusan idea untuk mengkomersialkan hasil penyelidikan Universiti Malaya ke arah penghasilan teknologi yang berkualiti tinggi dan menepati standard piawaian dalam bidang perindustrian Malaysia.

”Ini akan memberi pulangan kepada sektor ekonomi, meningkatkan peluang pekerjaan serta kualiti hidup individu dan masyarakat.

”Perjanjian ini juga merupakan platform untuk mengenalpasti strategi pemasaran bagi pengkomersialan teknologi dan penyelidikan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Sabirin berkata, melalui kerjasama ini STV akan memberi khidmat nasihat dan perkhidmatan pengkomersialan teknologi STV kepada UM yang dapat membantu penyelidik universiti dalam pengkomersialan inovasi mereka.

”STV dan UM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang peningkatan keupayaan modal insan melalui latihan, bengkel, seminar pendidikan dan ceramah.

”Selain itu, STV turut menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah pengkomersialan perniagaan terutama Penilaian Teknologi (Penganalisis Penilaian Paten Bertauliah), Kajian Kebolehlaksanaan Pasaran dan lain-lain yang berkaitan dengan pengkomersialan teknologi sebagai nilai tambah kepada usahasama ini,” katanya.

Menurutnya, STV kini giat menjalinkan kerjasama daripada pelbagai universiti, industri, agensi dan institusi penyelidikan di dalam bidang pengkomersialan teknologi.

”SIRIM berharap STV akan lebih dikenali sebagai entiti pengkomersialan teknologi dan sebagai tempat rujukan kepada industri pada masa akan datang. Ini akan menjadi tonggak utama bagi SIRIM dalam meningkatkan kadar penggunaan teknologi dan kebolehpasaran inovasi di pasaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette