KUALA LUMPUR – Seramai 951,739 atau 83 peratus penuntut institut pengajian tinggi (IPT) telah menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19 setakat 1 Oktober lalu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, bagi kakitangan IPT pula, seramai 117,721 individu atau 90 peratus menerima dos lengkap.
Jelas beliau, beberapa prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mencegah penularan Covid-19 menjelang kemasukan semula mahasiswa ke IPT pada Jumaat ini.
“Kita ada 1.15 juta pelajar. Apabila pelajar mula memasuki kampus secara berperingkat 15 Oktober ini, mereka akan disaring dengan kit ujian kendiri untuk memantau dan mengekang penularan wabak walaupun sudah menerima dos lengkap. Saringan akan dibuat secara berkala,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Noraini menjelaskan, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) pelajar hanya ditangguhkan jika terdapat kes jangkitan Covid-19 di kampus namun operasi tidak ditutup.
“Operasi (universiti) tidak akan ditutup. Aktiviti bersemuka akan ditangguh. Jadi ada dua cara pengajaran dan pembelajaran (PdP) iaitu satu bersemuka dan dalam talian serta hibrid.
“Kalau sekiranya IPT merekodkan kes jangkitan lebih serius, penutupan institusi akan dipertimbangkan berdasarkan saranan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Menjawab soalan tambahan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai mahasiswa tidak divaksin, Noraini berkata, seramai 2,286 pelajar atau 0.2 peratus menghadapi masalah kesihatan dan tidak divaksin setakat 8 Oktober lalu.
Ujar beliau, IPT turut dinasihatkan untuk membantu pelajar berkenaan supaya pengajian mereka tidak terjejas.
Menurutnya, sekiranya kehadiran secara fizikal tenaga pengajar dan pelajar yang tidak divaksin terpaksa diteruskan, prosedur pemantauan pergerakan ketat akan dilaksanakan seperti mewajibkan ujian saringan RT-PCR iaitu tiga hari sebelum masuk ke kampus.
“IPT juga digalakkan untuk memastikan warga kampus melaksanakan ujian saringan kendiri menggunakan kit ujian kendiri secara berkala supaya mereka berada dalam keadaan yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette