KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menjadikan sistem penyampaian perumahan berjalan lancar sebaik mungkin bagi memastikan rakyat mendapat akses ke rumah mampu milik.
Bagaimanapun, ini bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk dilaksanakan kerana perumahan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri – masing-masing mempunyai garis panduan dan syarat tersendiri yang kadang-kadang melangkaui dengan apa yang disediakan oleh kerajaan pusat.
Melihatkan kepada senario semasa, bantuan kerajaan sangat penting untuk mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan pastinya ini kemudian dapat membantu memberikan dorongan yang sangat diperlukan untuk segmen perumahan mampu milik.
Bagi membolehkan kos pembangunan kekal mampan, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah seperti tidak mengenakan syarat atau caj baharu atau menaikkan caj sumbangan oleh syarikat utiliti dan pihak berkuasa tempatan, katanya.
Rehda juga berharap agar kerajaan memperluaskan langkah-langkah yang sedang diambil untuk membantu industri hartanah dan memperkenalkan yang baharu untuk meningkatkan pemulihannya berikutan kemelut pandemik pada masa ini dan kesannya yang berpanjangan terhadap industri.
“Pada masa ini, yang paling diperlukan oleh industri adalah pindaan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020 berkenaan obligasi kontrak untuk mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, PKP 3.0, PKP Dipertingkatkan, PKP Penuh dan Pelan Pemulihan Negara Fasa Satu dan Dua.
“Pindaan Akta itu penting untuk melindungi kepentingan pihak-pihak yang terkesan kerana ketidakmampuan mereka untuk memenuhi obligasi atas sebab yang di luar kawalan mereka,” katanya.
Rehda juga berharap agar kerajaan mengambil langkah untuk memastikan kestabilan harga bahan binaan seperti batang besi, yang harganya tidak menentu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Kami turut berharap kerajaan akan mengkaji semula atau memansuhkan beberapa langkah yang diperkenalkan ketika pasaran hartanah berada di puncaknya kerana ia mungkin tidak relevan lagi pada masa ini.
“Selain itu, kerajaan boleh mempertimbangkan semakan secara menurun Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) dengan pengenaan sifar untuk harta tanah yang dilupuskan mulai tahun keenam dan tahun-tahun berikutnya serta menghapuskan nisbah Pinjaman-kepada-Nilai (LTV) untuk pembelian hartanah ketiga dan seterusnya,” katanya.
Pihaknya juga berharap agar isu pekerja asing yang sudah lama tertangguh dalam industri pembinaan dapat diselesaikan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Pembeli Rumah (HBA) Kebangsaan Datuk Chang Kim Loong memohon agar kerajaan mengurangkan cukai pendapatan bagi individu yang terkesan oleh pandemik COVID-19 dan memastikan individu yang layak diberi akses kepada pembiayaan, terutama bagi pembeli rumah pertama kali.
“Kami juga berharap agar pemaju yang membina rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah diberi insentif,” katanya. – MalaysiaGazette