KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari membenarkan permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan pasportnya buat sementara bagi tujuan rawatan perubatan.
Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO untuk ke Munich, Jerman bagi rawatan sakit tulang belakang.
Bagaimanapun Collin turut memerintahkan pasport berkenaan dikembalikan kepada mahkamah pada 21 November ini.
Selain itu, hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu dua orang penjamin perlu dikemukakan oleh tertuduh.
“Saya membenarkan permohonan ini dengan meletakkan syarat tambahan dengan menambah seorang lagi penjamin. Tujuan pemulangan sementara pasport ini hanya untuk pembedahan dan dikhususkan untuk perjalanan ke Jerman,” katanya hari ini.
Mahkamah juga telah memanggil doktor yang merawat Ahmad Zahid untuk memberikan keterangan berkaitan dengan sakit dihadapi olehnya ketika ini.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun tidak membantah dengan permohonan tersebut.
Pagi tadi, ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa turut membenarkan permohonan yang sama oleh Ahmad Zahid.
Minggu lepas, peguam mewakili Ahmad Zahid, Hamidi Mohd. Noh memaklumkan kepada mahkamah rawatan yang dijalani sekarang tidak cukup untuk mengurangkan kesakitan sudah mula menggunakan pakar perubatan dari negara itu sejak tahun 2013.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sedang berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Selain itu Ahmad Zahid juga berdepan 40 tuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam berkaitan dengan lanjutan kontrak kepada Ultra Kirana Sdn Bhd bagi melaksanakan Sistem Visa Luar Negara.
Ahli politik itu telah dimasukkan di sebuah hospital swasta di Shah Alam pada 22 Ogos lalu kerana kecederaan bahagian tulang belakang yang dialami selepas terjatuh. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Zahid dibenar dapat pelepasan sementara pasport untuk rawatan di Jerman