Home Seni Hidup Nenek tidak sabar tunggu cucu balik

Nenek tidak sabar tunggu cucu balik

Rohani sebak ketika membuat panggilan video bersama cucunya,selain tidak sabar menunggu kepulangan anak dan cucu-cucunya setelah lebih setahun tidak berjumpa.

KULAI – “Fia, Fia nak balik kampung ya? Fia rindu nenek tak?,” tanya Rohani Kassim, 59, sambil menitiskan air mata ketika berbual dengan cucunya, Nurfia Idina Mohd. Yazid 3 tahun.

Rohani memberitahu, keletah dan gelak tawa cucu ketiganya itu ketika membuat panggilan video membuatkan dirinya semakin merindui Nurfia.

Selain merindui cucunya, wanita ini juga tidak sabar menanti kepulangan anak lelakinya, Mohd. Yazid Yaakob, 36, bersama empat lagi cucu kesayangannya pulang ke kampung halaman di Kampung Sri Gunung Pulai, dekat sini hari ini.

Katanya, Yazid merupakan anak keenam daripada 12 beradik yang satu-satunya bekerja di luar Johor sebagai seorang guru di Melaka.

Anak lelaki itu tidak pulang ke kampung sejak setahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

“Walaupun sudah lama tidak bersua muka, adakalanya anak makcik membuat panggilan video bertanyakan khabar.  Sedikit sebanyak terubat kerinduan terhadapnya yang berada perantauan,” tambahnya.

Rohani yang teruja bercerita kegembiraannya berkata, anaknya telah menghubungi untuk memaklumkan akan pulang ke kampung Sabtu ini setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula hari ini.

“Itulah berita paling gembira makcik terima dalam masa terdekat ini. Sudah tentunya kepulangan mereka sekeluarga amat dinanti-nantikankan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Rohani yang merupakan pengusaha kedai makan dengan nada sebak menambah, dia akan menyediakan menu asam pedas ikan mayong yang menjadi kegemaran anak lelaki itu pada Sabtu ini.

“Makcik sebak bila anak bagitahu nak balik. Mana tidaknya, sudah dua kali Raya Aidilfitri dia tidak pulang ke rumah.

“Mungkin ada rezeki, Jumaat ini anak dan cucu-cucu balik.

“Lebih melegakan hati makcik kami sekeluarga semua sudah divaksin. Jadi, tidak timbul kerisauan apabila menyambut kepulangan mereka nanti,” ujarnya. – MalaysiaGazette