KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan beliau telah bernikah dengan selebriti terkenal, Erra Fazira.
“(Selama) 51 tahun hidup, saya pertama kali dapat soalan begitu dan saya sebenarnya pernah bernikah sekali. Itu pun dengan isteri saya dan saya amat bahagia dengan isteri dan anak-anak saya” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu menjawab soalan oleh Senator Datuk Razali Idris yang mahu mendapat kepastian susulan tular di media sosial kononnya Ahmad Faizal bernikah dengan Erra di Dewan Negara hari ini.
“Syabas kerana turun jawab soalan. Hari ini saya ada tiga (soalan). Dalam sehari dua ini di media sosial gegak gempita mengatakan Yang Berhormat Menteri Belia (dan Sukan) berkahwin dengan seorang artis popular tanah airr?” soal Razali.
Pada mulanya, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bagaimanapun tidak membenarkan Ahmad Faizal menjawab soalan itu kerana di luar skop tumpuan.
“Ada kena mengena? Ini di luar skop. Itu hal peribadi beliau dan saya tidak benarkan beliau menjawab,” kata Rais.
Razali membalas soalan itu dengan mengatakan ia ada kena mengena kerana membabitkan peribadi Ahmad Faizal sebagai menteri.
Bagaimanapun Bekas Menteri Besar Perak yang dikenali dengan nama Peja memberi respon terhadap soalan Razali meskipun Speaker melarang soalan dijawab.
Sejak semalam, tular di media sosial kononnya Erra yang dikatakan sudah berkahwin dengan Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak.
Jawapan Ahmad Faizal itu sekali gus merungkai gosip berkenaan yang tular di media sosial. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: