KUALA LUMPUR – Kadar populasi dewasa di negara ini yang lengkap menerima vaksin Covid-19 kini melebihi 90 peratus iaitu 90.4 peratus atau 21,154,357 setakat pukul 11.59 malam tadi.
Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disiarkan di laman portal CovidNow, sebanyak 94.9 peratus populasi dewasa atau 22,200,207 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Sejumlah 184,486 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam bagi golongan dewasa melibatkan 52,302 dos pertama dan 132,184 dos kedua.
Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 45,835,200.
Bagi golongan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 283,023 atau 9.0 peratus melengkapkan suntikan vaksin manakala 64.4 peratus remaja atau 2,310,495 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK bagi golongan itu yang bermula sejak 8 September lepas. – MalaysiaGazette