Home Sukan Kenny Pallraj buat latihan kendiri kekal cergas

Kenny Pallraj buat latihan kendiri kekal cergas

Pemain Kedah FC, Mohd Syazwan Zainon (kiri) diasak pemain Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj Davaragi (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pemain Kuala Lumpur City FC, Kenny Pallraj tetap akan melakukan latihan kendiri meskipun dalam tempoh kuarantin bagi mengekalkan tahap kecergasan menjelang saingan TM Piala Malaysia 2021 yang akan kembali bersambung pada 29 Oktober.

Skuad Harimau Malaya ketika ini sedang menjalani proses kuarantin selama 14 hari sebaik sahaja pulang dari Amman, Jordan semalam.

Semestinya ia bukan satu tugas yang mudah untuk barisan pemain memastikan tahap kecergasan mereka di tahap terbaik sebelum kembali ke kelab masing-masing bagi mengharungi baki perlawanan TM Piala Malaysia.

Namun sebagai pemain, Kenny tidak menjadikan situasi itu sebagai halangan besar untuk sekurang-kurangnya tetap melakukan latihan asas sepanjang tempoh kuarantin kerana enggan diketepikan untuk beraksi sebaik sahaja perlawanan ketiga Piala Malaysia berlangsung.

“Sekarang ini, saya buat dengan apa yang ada sahaja dan lebih kepada melakukan latihan asas, kardio, menimbang bola dan apa sahaja yang bersesuaian untuk dibuat dalam bilik.

“Untuk mengekalkan kecergasan memang susah, tetapi kita tidak boleh ambil mudah sepanjang kuarantin sebab kita tidak mahu ketinggalan dengan pemain-pemain lain.

“Yang penting, saya nak pastikan saya dapat bermain dalam Piala Malaysia dan walaupun sedang kuarantin, kita tidak boleh senang-lenang tanpa buat apa-apa sebab memang akan memberi kesan kepada diri”, katanya.

Kenny yang diberi kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama ketika menentang Uzbekistan minggu lalu nyata berbangga apabila mendapat peluang keemasan selepas kali terakhir menyarung jersi skuad negara adalah pada Jun 2019.

Meskipun keputusan tidak memihak kepada Malaysia apabila tewas 1-5 kepada Uzbekistan, bekas pemain Perak ini enggan menoleh ke belakang sebaliknya kini ingin terus memberi fokus kepada saingan Piala Malaysia.

Secara peribadi, Kenny mengharapkan mereka mampu mara ke final selepas kali terakhir Kuala Lumpur beraksi di pentas berprestij itu pada musim 2018 di peringkat kumpulan sahaja.

“Saya memang puas dan gembira apabila dapat juga beraksi dengan skuad kebangsaan, cuma memang banyak benda lagi perlu diperbaiki selepas ini.

“Sekarang kita lupa dahulu apa yang sudah berlaku sebab misi penting sekarang adalah Piala Malaysia pula dan secara peribadi, saya harap kami dapat ke final.

“Saya sendiri ada pengalaman manis dengan kejohanan ini ketika final 2018 apatah lagi itu adalah piala pertama saya dalam karier di mana semua tahu bagaimana perlawanan ketika itu memang epik sebelum Perak bergelar juara”, jelasnya.

Kuala Lumpur City FC kini menduduki tangga kedua Kumpulan A Piala Malaysia dengan empat mata manakala Sarawak United yang menang dua perlawanan berturut-turut di kedudukan teratas selain Penang FC di tangga ketiga dan Sri Pahang FC di tangga empat.

Skuad kendalian Bojan Hodak ini akan menentang pasukan Sarawak United pada 30 Oktober ini. – MalaysiaGazette