PONTIAN – Polis Johor tidak menolak kemungkinan terdapat saki baki mangsa bot yang karam di persisiran Pantai Rambah, di sini, pada petang semalam.
Mayat mangsa yang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu ditemui penduduk kampung.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan polis marin, bomba dan agensi berkaitan untuk menjalankan operasi mengesan dan menyelamat.
“Mengikut kapasiti yang kami lihat bot yang kami temui di tempat kejadian anggaran kapasiti lebih kurang enam orang,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah Pontian petang tadi.
Pada pagi tadi, satu mayat mangsa bot karam dijumpai menjadikan jumlah penemuan mayat hingga hari ini meningkat kepada empat.
Semalam, tiga lelaki dipercayai PATI Indonesia dipercayai berumur lingkungan 30an yang ingin memasuki Malaysia ditemui lemas selepas bot dinaiki karam di Pantai Rambah.
“Pemeriksaan fizikal ke atas mayat itu tiada unsur-unsur yang boleh dikaitkan demgan kegiatan jenayah,” katanya. – MalaysiaGazette