KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) bagi memastikan pencapaian hasil yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PPD yang berada di bawah penyelarasan Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan menyenaraikan strategi dan inisiatif dengan mengemukakan petunjuk prestiasi utama (KPI).
“PPD ini akan disiapkan pada November ini. Satu jawatankuasa pemantauan akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau pelaksanaan RMK-12 dengan rapi.
“Saya akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemantauan yang pertama pada pertengahan November ini,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.
Pada akhir perbentangan itu, Ismail Sabri melahirkan keyakinan sasaran RMK-12 mampu dicapai dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta rakyat berteraskan kepada konsep Keluarga Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pegawai kerajaan yang bekerja keras dalam penyediaan RMK-12 ini.
“Saya juga menyeru supaya usaha yang lebih jitu dan tersusun dapat diteruskan bagi memantau dan melaksana semua strategi dan inisiatif bawah RMK-12,” katanya.
Untuk rekod, RMK-12 dengan tempoh antara 2021 hingga 2025 yang dibentangkan pada 27 September lalu diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis lepas.
Perbentangan itu dibahaskan 106 Ahli Parlimen.
RMK-12 menjadi landasan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun selepas ini akan melalui sesi perbahasan Ahli Dewan Negara sebelum diluluskan di peringkat Dewan Negara. – MalaysiaGazette