KUALA LUMPUR – Cadangan kerajaan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti ini tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, Ismail Sabri berkata, menerusi kerangka jaringan keselamatan ekuiti penjualan saham atau syarikat milik agensi mandat bumiputera hanya ditawar serta dijual kepada konsortium, syarikat atau individu bumiputera yang lain.
“Syarikat swasta tidak tertakluk kepada cadangan ini, sebaliknya tertakluk kepada peraturan sedia ada di bawah kawal selia sektor yang berkenaan.
“Ini bagi memastikan penjualan saham dan syarikat oleh syarikat tempatan kepada pemilik asing akan dapat dikawal dan seterusnya dapat memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera tidak
terhakis,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Antara agensi mandat Bumiputera ini adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB), yang menyumbang peratusan terbesar kepada pemilikan ekuiti Bumiputera, serta Mara dan Ekuinas.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pengenalan kerangka jaringan keselamatan ekuiti juga tidak akan mengambil hak kepentingan masyarakat bukan bumiputera di negara ini.
Sehingga 2019, pegangan Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus di dalam pemilikan ekuiti sektor korporat dan bukan Bumiputera 25.0 peratus.
Sementara itu, 45.5 peratus adalah pegangan asing dan nomini 12.3 peratus.
Dalam pada itu, RMK-12 juga akan merangka pelan hala tuju untuk mengkurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sehingga 45 peratus KDNK pada tahun 2030.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, pelan itu akan diperkenalkab bersama-sama pelan adaptasi kebangsaan yang selaras komitmen Malaysia untuk menjadi negara neutral karbon tahun 2050.
Katanya, pelan tersebut dibuat bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim secara menyeluruh dan akan diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.
“Perincian langkah-langkah bagi pencapaian aspirasi pelepasan GHG bersih sifar akan diumumkan setelah kajian strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon negara dimuktamadkan pada 2022.
“Bagi menyokong usaha ini, langkah seperti, dengan izin, carbon pricing termasuk cukai karbon serta instrumen ekonomi lain akan diperincikan,” katanya. – MalaysiaGazette