Home Sukan Sehingga 20,000 penonton dibenarkan masuk stadium

Sehingga 20,000 penonton dibenarkan masuk stadium

Penyokong mengamalkan penjarakan fizikal untuk menyaksikan perlawanan Liga Super 2021 diantara KL City menentang Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan jumlah penyokong yang dibenarkan memasuki stadium adalah mengikut fasa berdasarkan prosuder operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Presidennya, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton (yang mana lebih rendah) diikuti Fasa 3 sebanyak 30 peratus atau 10,000 penonton (yang mana lebih rendah) dan Fasa 4; 50 peratus atau 20,000 penonton (yang mana lebih rendah) daripada kapasiti venue yang digunakan untuk hari pertandingan.

Beliau berkata, MFL mengucapkan penghargaan kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri  Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mengumumkan kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

“Apa yang pasti ia menjadi satu langkah yang baik bagi melonjakkan kembali industri bola sepak negara apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 TM Piala Malaysia selepas kejohanan ini terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu.

“Di sini MFL memberikan kebenaran kepada kelab untuk mengikut kuota penyokong yang ditetapkan atau mengurangkan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan kelab daripada segi pengurusan petugas stadium, pasukan keselamatan atau marshall pada hari perlawanan bermula dengan aksi minggu ketiga TM Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

“Apa yang penting juga, hanya penyokong atau penonton sudah lengkap divaksinasi boleh masuk ke stadium selain wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

“Manakala bagi kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan berada di stadium mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dan juga SOP-SOP kebenaran penonton masuk ke stadium pada April lalu yang telah dikeluarkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani turut memaklumkan bahawa penyokong juga dibenarkan untuk menyaksikan perlawanan persahabatan kelab-kelab yang bertanding dalam TM Piala Malaysia jika ada kelab yang mengadakan perlawanan pemanas badan sepanjang perlawanan antarabangsa pasukan kebangsaan pada bulan ini.

“MFL turut membuat keputusan untuk membenarkan penyokong hadir ke stadium bagi perlawanan persahabatan kelab-kelab yang mahu membuat persiapan menjelang perlawanan minggu ketiga TM Piala Malaysia pada 29 Oktober ini.

“Bagaimanapun kelab-kelab terlibat perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada MFL dan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN, KKM dan KBS bagi kemasukan penyokong ke stadium walaupun perlawanan itu hanya berstatus aksi persahabatan. Ini penting bagi memastikan kita bersama-sama menjaga SOP bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“SOP-SOP yang lengkap berkenaan penyokong masuk ke stadium bermula 29 Oktober 2021 akan diberikan kepada pasukan dalam tempoh terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette