KUALA LUMPUR – Peralihan monsun timur laut dijangka melanda negara ini pada awal November dan berakhir pada Mac 2022.
Monsun ini diramal tidak membawa hujan lebat seperti mana yang pernah berlaku pada tahun 2014 hingga mengakibatkan banjir besar.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Meteorologi Malaysia, Lim Ze Hui tidak menolak jumlah hujan yang dibawa oleh monsun ini kemungkinan sama seperti yang dialami tahun lepas.
”Kita tidak menjangkakan sesuatu yang terlalu ekstrem, sama seperti tahun sebelum ini jika dibuat perbandingan,” katanya dalam Forum Iklim Kebangsaan Monsun Timur Laut 2021/2022 bertajuk Cabaran dan Persediaan Norma Baharu yang diadakan secara maya di Facebook MetMalaysia hari ini.
Forum Iklim Kebangsaan (FIK) merupakan program tahunan Jabatan Meteorologi Malaysia sejak dari tahun 2011 sebagai platform perbincangan pengurusan bencana melibatkan pelbagai agensi.
Forum ini disertai Agensi Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Tambahnya, Pantai Timur Semenanjung akan mengalami hujan lebat antara November hingga Disember manakala Pantai Barat Semenanjung pula antara Disember hingga Januari 2022.
Kelantan dan Terengganu dijangka menerima taburan hujan antara 450 milimeter (mm) hingga 1,000 mm berbanding negeri-negeri lain.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, sepanjang bulan Januari hingga Mac 2022, semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerima hujan pada paras purata kecuali di pedalaman dan barat Sarawak antara 350mm hingga 950mm. – MalaysiaGazette