
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyokong penuh pendirian kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim dan teknologi hijau negara sebagaimana diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, dalam mendukung usaha menyeluruh meminimumkan kesan peningkatan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas – GHG) ekoran aktiviti manusia, TNB sebagai syarikat utiliti elektrik nasional telah pun mengambil tindakan proaktif pada Ogos lalu dengan mengumumkan hala tuju kelestariannya.
Beliau berkata, di bawah hala tuju itu, TNB telah menetapkan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih (net zero emissions) menjelang tahun 2050.
“Hasrat ini dipacu komitmen mengurangkan intensiti
pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan tenaga menerusi arang batu menjelang 2035.
“Ia adalah pelan strategik rendah karbon untuk menyumbang kepada kehidupan yang lebih sejahtera sejajar komitmen masyarakat dunia melindungi bumi dengan memastikan semua orang menikmati kesejahteraan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Hassan, inisiatif TNB itu menepati agenda perubahan iklim dan teknologi hijau kerajaan Malaysia yang bakal dibentangkan pada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November depan.
Sementara itu, Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din pula menjelaskan, TNB komited memastikan pendapatan daripada loji arang batu tidak melebihi 25 peratus dalam keseluruhan pendapatannya.

“Pada awal tahun ini pula, kami telah menyatakan komitmen untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu selepas Stesen Janakuasa Jimah East Power, di Port Dickson, yang mula beroperasi pada 2019.
“Sebagai langkah tambahan, TNB juga akan meningkatkan peruntukan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) selain usaha sedia ada dalam aktiviti perniagaan RE,” katanya menerusi kenyataan yang sama.
Bagi tujuan itu beliau berkata, TNB giat meneraju peralihan tenaga dengan mengutamakan kecekapan tenaga dan teknologi tenaga bersih termasuk menambah aset RE dalam dan luar negara, serta infrastruktur berkaitan seperti kestabilan grid dan meningkatkan digitalisasi.
“Kami akan bekerja bersama-sama dengan pihak kerajaan dan semua pihak yang berkaitan sebagai satu usaha tindakan bersama seluruh negara ke arah mencapai aspirasi pelepasan
sifar bersih ini” tambahnya. – MalaysiaGazette