KUALA LUMPUR – Seorang warga emas ditemui maut selepas dipercayai terjun dari tingkat lapan sebuah bangunan di Jalan Masjid India di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, Pusat Kawalan Dang Wangi menerima panggilan mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 4.28 petang.
“Ketua Balai Polis Dang Wangi bersama pasukan telah hadir ke tempat kejadian dan mendapati mangsa seorang lelaki warga tempatan berusia 63 tahun dalam keadaan lengkap berpakaian.
“Pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang kecederaan berunsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Noor Dellhan, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang hadir ke lokasi kejadian.
Tambah beliau, siasatan mendapati mangsa dipercayai terjun dari tingkat lapan sebuah bangunan berikutan terdapat sebuah kerusi di tingkat berkenaan.
Katanya lagi, mayat mangsa kemudiannya di bawa ke Unit Forensik HKL bagi tujuan bedah siasat.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya. – MalaysiaGazette