SEPANG – Tiada kata-kata dapat digambarkan dua sahabat apabila berpeluang menunaikan umrah dalam norma baharu selepas kerajaan mengumumkan pembukaan semula sempadan negara, Isnin lalu.
Konsultan kewangan, Nur Fadzilah Abd Rahim, 38, dan rakannya, pengurus jualan, Noryanie Ramli, 40, dari Kuantan, Pahang masing-masing meluahkan rasa syukur selepas menerima perkhabaran gembira untuk menjejakkan kaki ke kota Mekah.
Jelas Nur Fadzilah, dia sudah lama memasang niat untuk menunaikan umrah namun terpaksa menangguhkan hasratnya itu selepas negara dilanda pandemik Covid-19.
“Semua orang semestinya ada niat untuk pergi tunaikan umrah, jadi apabila ada peluang ini dan saya pun terpilih memang bersyukur selain menjadi kumpulan jemaah pertama yang akan sampai ke sana.
“Kami hanya mengambil masa selama tiga hari untuk menguruskan segala persiapan, memang agak kelam-kabut namun semuanya dipermudahkan dari segi penyediaan dokumen perjalanan dan ujian saringan Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Nur Fadzilah dan Noryanie merupakan antara 11 jemaah yang akan menunaikan umrah dan ziarah selama 12 hari 10 malam bersama syarikat agensi pelancongan, Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd.
Mereka merupakan kumpulan pertama yang akan berlepas ke Jeddah hari ini dengan menaiki penerbangan terus Saudi Airlines susulan pembukaan semula sempadan negara seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lalu.
Selain itu, antara jemaah lain yang akan turut merasai menunaikan umrah dalam norma baharu adalah selebriti terkenal, Ashraf Muslim.
Menurut Ashraf, dia amat berbesar hati menerima tawaran untuk bersama-sama kumpulan jemaah tersebut menunaikan umrah selepas sekian lama terkurung akibat pandemik Covid-19.
“Saya hanya buat keputusan untuk menyertai kumpulan ini pagi semalam selepas melihat semua prosedur operasi standard (SOP) agensi pelancongan.
“Ini juga merupakan pengalaman baharu dan berbeza bagi saya kerana sebelum ini tiada SOP dan sebagainya ketika menunaikan umrah. Berdasarkan taklimat awal, kami dimaklumkan bahawa umrah kali ini hanya boleh dilakukan sekali sahaja dan kalau hendak buat kali kedua perlu buat pendaftaran lain.
“Jadi apabila saya dapat ke sana, ini adalah tanggungjawab saya untuk sampaikan kepada masyarakat terutamanya umat Islam di negara ini bagaimana situasi mengerjakan umrah dalam musim pandemik supaya dapat dijadikan panduan,” ujarnya.
Turut berpeluang menjejakkan kaki ke bumi Haramain kali ini adalah produser MalaysiaGazette, Razali Awang, bersama jurufoto, Mohd Hazrol Zainal yang masing-masing melahirkan rasa keterujaan untuk menunaikan umrah dan menjalankan ziarah.
Jelas Razali, dia hanya mempunyai masa kurang 72 jam untuk menyediakan segala proses dokumentasi dan menjalani ujian saringan Covid-19 selepas mendapat jemputan dari Emraz Travel & Tours bagi membuat liputan sepanjang perjalanan ke bumi Mekah dan Madinah.
“Kami menjadi antara kumpulan pertama untuk ke sana dan kunjungan kali ini haruslah mematuhi segala SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
“Kalau di Malaysia kita gunakan aplikasi MySejahtera manakala di sana kami perlu muat turun aplikasi Tawakkalna atau Eatmarna bagi memudahkan pergerakan untuk masuk ke premis dan sebagainya,” katanya.
Tambah Razali lagi, dia juga perlu bersedia dari segi fizikal dan mental sekiranya perlu berdepan dengan sebarang kesulitan yang timbul berkenaan SOP yang dikuatkuasa oleh kerajaan Arab Saudi.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Jualan Emraz, Ustaz Shahrul Izuan Shafie berkata, kesemua individu berusia 18 tahun ke atas dibenarkan untuk menunaikan umrah dengan memenuhi syarat sudah lengkap dua dos vaksin dan keperluan dokumentasi yang lain.
“Arab Saudi tiada masalah dari segi had umur asalkan keperluan dokumentasi lengkap dan tiada masalah kesihatan tetapi kita perlu membuat tapisan terlebih dahulu iaitu mana-mana bakal jemaah kita akan tanya jenis suntikan yang mereka terima.
“Jika Sinovac kita kena tunggu kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapat dos tambahan barulah pendaftaran (umrah) akan diteruskan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan bakal jemaah seterusnya akan berlepas pada 20 Oktober ini dan Emraz telah menyusun semula segala jadual penerbangan yang tertangguh sebelum ini sehingga bulan Mac 2022.
Katanya, bakal jemaah yang sudah bersedia dari segi dokumentasi perlu memenuhi syarat iaitu menerima suntikan vaksinasi jenis Pfizer atau AstraZeneca.
“Kita juga mahu ucap terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri kerana membenarkan pembukaan semula sempadan negara dan memberi peluang kepada agensi pelancongan untuk bernafas semula selepas dua tahun tiada sebarang aktiviti.
“Ini merupakan kumpulan pertama yang akan berlepas dan kita cuba tunjukkan kepada rakyat bahawa aktiviti umrah telah dibuka dan ini peluang untuk mereka kembali ke bumi Haramain dan Madinah,” ujarnya.
Katanya lagi, beberapa kakitangan Emraz juga telah tiba di Madinah lebih awal bagi melakukan persiapan dan menyambut kumpulan jemaah yang dijangka tiba pada awal pagi esok. – MalaysiaGazette