Home Nasional Penganggur pukul isteri ditahan

Penganggur pukul isteri ditahan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki mencederakan isterinya dalam satu kejadian di Taman Kosas, Ampang pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian sekitar pukul 4 petang itu, suspek telah bertindak memarahi isterinya dengan melemparkan kata-kata kesat sebelum memukul menggunakan tangan, kayu serta mengacukan garfu.

Menurut beliau, selain memukul isterinya, suspek turut bertindak menghalau wanita berusia 31 tahun itu keluar dari rumah.

“Punca kejadian kerana suspek marah berikutan tidak dapat berjumpa dengan empat anaknya selepas pengadu bimbang akan dijangkiti Covid-19.

“Suspek yang tidak bekerja itu sedang menjalani kuarantin di rumah dan atas alasan berkenaan pengadu telah menghantar anak-anaknya ke rumah keluarga pengadu di Cheras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, susulan aduan yang diterima, sepasukan anggota kemudiannya pergi ke lokasi kejadian bagi menahan suspek berusia 35 tahun itu.

Katanya, suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga Jumaat ini dan hasil saringan ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek telah berkahwin selama lapan tahun bersama isterinya dan mempunyai dua anak lelaki dan dua anak perempuan berusia lingkungan tujuh tahun hingga lapan bulan.

“Akibat dipukul suspek, pengadu yang bekerja di sebuah pusat jagaan itu telah mengalami kecederaan di bahagian siku dan mendapat rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan, Seskyen 326A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan ke atas pasangan suami isteri dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952. – MalaysiaGazette