KUALA LUMPUR – Selepas hampir dua tahun bergelut menjalani kehidupan akibat wabak Covid-19, rakyat Malaysia kini berdepan lebih banyak kesukaran untuk menyimpan wang pada setiap bulan, menurut Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS 2021).
Sebanyak 52% daripada responden berjaya menyimpan kurang daripada RM500 sebulan ataupun tidak dapat membuat sebarang simpanan dan ianya merupakan satu peningkatan berbanding tahun lepas (49%).
Sementara itu, 21% pula bergantung harap sepenuhnya kepada gaji yang diberi pada hujung bulan.
Ini kerana responden tidak mampu menyimpan wang pada setiap bulan (peningkatan kecil daripada 19%).
Namun begitu, seramai 76% responden Malaysia beranggapan kewangan mereka adalah terkawal – di antara mereka ini, 33% masih membelanjakan sepenuhnya atau lebih daripada gaji bulanan mereka.
Walaupun begitu, responden mula memandang serius tentang penyimpanan wang untuk kecemasan semenjak pandemik melanda. 63% daripada responden memilih “dana kecemasan” sebagai sebab utama mereka menyimpan wang, diikuti pula dengan pencen (49%), melancong (40%) dan pembelian harta/rumah (38%).
Kajian itu juga mendapati semakin ramai rakyat Malaysia menyedari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja tidak mencukupi untuk persaraan mereka (15% berbanding 30% pada tahun 2020 yang menyatakan bahawa simpanan KWSP mereka cukup untuk persaraan).
Sungguhpun begitu, hampir separuh daripada mereka ini (45%) masih belum mula merancang untuk persaraan mereka.
”Melalui RMFLS tahun lalu, kita melihat bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia mula menyedari kepentingan dana kecemasan. Tetapi, pandemik yang berpanjangan ini terus mempengaruhi ekonomi dan kewangan rakyat Malaysia setiap hari.
”Kesannya terhadap kebolehan masyarakat untuk menyimpan wang adalah jelas. Tetapi, simpanan wang bukanlah satu-satunya cara untuk menguruskan wang,” kata Hann Liew, Pengasas Bersama dan Pengarah RinggitPlus.
Selain daripada simpanan, rakyat Malaysia bersikap lebih terbuka mengenai cara menggandakan dana mereka melalui pelaburan automasi seperti matawang kripto dan penasihat robo.
Hampir separuh (49%) daripada responden menyatakan mereka tertarik atau mahu melabur dalam matawang kripto.
Kajian ini mendapat 3,033 respon dari seluruh negara dan kaedah sampel berstrata telah dilakukan untuk mencapai 1,518 respon sampel yang mewakili populasi negara Malaysia. – MalaysiaGazette