KUALA LUMPUR – Aktres popular, Tiz Zaqyah menyelar segelintir selebriti yang mengambil tindakan merahsiakan status kesihatan sekiranya dijangkiti Covid-19.
Pelakon yang sedang hangat menerusi drama Diva Popular itu bagaimanapun pelik kerana golongan itu berasa bangga pula jika kontroversi bodoh menimpa mereka.
“Rupa-rupanya ramai selebriti pernah kena Covid-19 tetapi sorok. Mengapa?
“Anda sepatutnya mendidik dan menyebarkan kesedaran. Tentang Covid-19 nak malu, tetapi kau punya kontroversi bodoh bangga pula,” katanya dalam satu ciapan di Twitter semalam.
Tiz Zaqyah merupaka bekas pesakit Covid-19 dan lengkap dua dos vaksin.
Pemilik nama Siti Zaqyah Abdul Razak itu turut motif sebenar perjuangan golongan antivaksin selain mempersoalkan apa sebenarnya yang kumpulan itu sedang lawan.
Menurut pelakon berusia 33 itu, hampir semua orang telah divaksin namun masih ada golongan yang sanggup bergaduh, ego dan bongkak bercakap mempertahankan pendirian enggan divaksin termasuklah dalam kalangan selebriti.
“Ambillah vaksin tu. Manusia manusia, pasal kebaikan pun nak gaduh. Ego dan bongkak.
“Semua orang dah vaksin, mu saja belum. Mu lawan lawan lawan, sedangkan kami semua nak menang bersama. Ya, termasuk kawan-kawan saya tak nak vaksin. Kenapa sampai macam ni? Apa yang kau lawan sebenarnya?” soalnya dalam satu hantaran media sosialnya.
Mengulas lanjut, pelakon yang terkenal menerusi drama Nur Kasih itu juga meluahkan rasa kesal dengan sikap golongan sedemikian dan sanggup bergaduh, menyebarkan maklumat palsu bahkan terlibat dalam penipuan semata-mata untuk menggunakan sijil vaksinasi palsu.
Bagaimanapun, Tiz Zaqyah tetap akur dengan pilihan masing-masing, jika benar-benar menolak vaksin atas alasan yang disahkan doktor.
“Saya tetap akan ajak kawan-kawan untuk vaksin. Ada kawan-kawan yang ada anak kecil, mereka lebih risau. Saya jemput untuk vaksin tetapi diludahnya ke muka. Apa sebenarnya yang mereka lawan,” tulisnya lagi.- MalaysiaGazette