PUTRAJAYA – Kerajaan akan melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia bagi membantu golongan berkenaan untuk akses internet bermula esok.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pakej yang diperkenalkan itu bukti komitmen kerajaan dalam memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada internet pada harga berpatutan.
Menurutnya, Pakej Remaja Keluarga Malaysia merupakan pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pascasiswazah.
Katanya, dengan bayaran RM10 sebulan dan dibayar RM30 untuk tiga bulan mereka akan mendapat data 20 gigabyte (GB), selain diberikan data 1GB percuma untuk aktiviti produktiviti setiap hari dan akses internet tanpa had.
“Pengguna boleh melakukan aktiviti seperti penghantaran mesej dan melayari internet manakala data produktiviti, pembelajaran dalam talian serta bekerja dari rumah boleh dilakukan tanpa kekangan data,”katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga di kementerianya di sini hari ini.
Tuurt hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek.
Pada majlis pelancaran itu, Annuar turut menyerahkan kedua-dua pakej berkenaan kepada penerima-penerima yang layak untuk menikmati manfaat tersebut.
Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia merupakan pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah.
Ia ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Celcom, Digi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL untuk tempoh selama enam bulan sehingga 15 April 2022.
Dalam pada itu Annuar berkata, Pakej Peranti Keluarga Malaysia pula membolehkan pengguna memiliki atau menaik taraf kepada peranti mudah alih dan voice over long term evolution (VoLTE) secara percuma.
Jelasnya, peranti tersebut dapat dimiliki dengan langganan serendah RM40 sebulan melalui kontrak selama 12 hingga 24 bulan tertakluk kepada jenis peranti dan perkhidmatan yang dilanggan dengan 1GB data percuma untuk aktiviti produktiviti.
Katanya, beliau berharap pakej-pakej itu akan memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan.
“Saya menyarankan agar wakil rakyat dapat memanfaatkan peluang ini untuk menaja pelajar yang tidak berkemampuan dengan mendaftarkan pakej-pakej tersebut dan saya juga menja 1,000 individu untuk kedua pakej terbabit.
“Mereka boleh tampil berbincang dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang terbabit dalam program ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette