KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan mengetuai Kaukus Medical Cannabis yang dicadangkannya sebelum ini selepas sembilan ahli-ahli Parlimen bersetuju untuk menubuhkan kaukus tersebut.
Bekas Menteri Belia dan Sukan Pakatan Harapan (PH) itu berkata kaukus tersebut adalah untuk mengkaji dan mengawal selia penggunaan medical cannabis dan ketum serta langkah kurangkan kemudaratan dalam perubatan.
“Kaukus Medical Cannabis akan bertemu kumpulan pakar kesihatan, penyelidik, pemain industri, NGO berkaitan dan kementerian terlibat bagi mendapatkan pandangan pembentukan dasar.
“Negara lain sudah bergerak jauh ke hadapan dalam perlaksanaan dasar berkaitan medical cannabis dan ketum. Malaysia juga harus mula sahut hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain namanya, Syed Saddiq juga turu mencadangkan bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Sai; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar; Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darell Leiking; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee; Ahli Parlimen Kuala Kedah, Azman Ismail; Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai ahlinya.
Menurut Syed Saddiq, objektif kajian pengawalseliaan bahan itu adalah demi mengurangkan kemudaratan, dan menjadikan ia sebagai salah satu bentuk perubatan yang diiktiraf di Malaysia.
Pada September lalu, Syed Saddiq mencadangkan kerajaan supaya menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji serta memberi kelulusan kepada industri hemp dan marijuana perubatan.
Beliau berkata, sudah tiba masa bagi Malaysia melaksanakan usaha itu memandangkan industri terbabit boleh membantu sebagai kaedah rawatan alternatif kepada masalah kesihatan mental dan sebagainya.
Syed Saddiq berkata, pasaran terkini industri terbabit adalah sekitar RM60 bilion dan dianggarkan akan mencecah RM400 bilion dalam tempoh empat tahun lagi. – MalaysiaGazette