Home Ekonomi URUS sejajar penyelesaian pengurusan hutang, perancangan kewangan holistik – BNM

URUS sejajar penyelesaian pengurusan hutang, perancangan kewangan holistik – BNM

Bank Negara Malaysia due diligence land purchase procurement Lot 41 1MDB rationalisation plan
Bank Negara Malaysia. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengenalan Program Pengurusan & Ketahanan Kewangan (URUS) adalah sejajar dengan usaha negara untuk melaksanakan penyelesaian pengurusan hutang dan perancangan kewangan yang holistik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata BNM telah bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi inisiatif ini untuk menyediakan bantuan yang bersesuaian kepada peminjam supaya mereka bukan sahaja dapat memenuhi obligasi bayaran balik pinjaman malah lebih penting lagi dapat mengukuhkan semula kedudukan kewangan.

“Bantuan ini akan memperkukuh daya tahan kewangan peminjam dalam jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nor Shamsiah berkata BNM mengalu-alukan pengenalan URUS oleh industri perbankan dan AKPK untuk membantu mereka yang terus terjejas akibat pandemik COVID-19.

URUS disasarkan untuk membantu peminjam B50 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50 peratus untuk membayar balik pinjaman mereka yang tidak tertunggak.

Peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon URUS boleh berhubung dengan bank-bank mereka mulai 15 November 2021 hingga 21 Januari 2022.

Beliau berkata bagi peminjam atau pelanggan yang tidak layak memohon program URUS mereka masih boleh menghubungi bank-bank untuk berbincang tentang penyelesaian bayaran balik pinjaman yang sesuai dengan keadaan kewangan mereka.

Menurut BNM, penambahbaikan selanjutnya Dana-Dana BNM bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2022 yang akan datang.

“Meskipun risiko kredit meningkat, pembiayaan bank kepada PKS terus berkembang dengan kapasiti tambahan yang disediakan melalui Dana-Dana BNM dan skim jaminan kredit,” katanya.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2021, sejumlah RM154 bilion telah dikeluarkan kepada PKS, iaitu 4 peratus lebih tinggi daripada jumlah sebelum pandemik

Sejak bermulanya pandemik, sejumlah RM18 bilion telah diperuntukkan di bawah dana tersebut bagi meningkatkan pembiayaan sistem perbankan kepada PKS manakala pinjaman terkumpul bagi segmen PKS meningkat sebanyak 6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini.

“Usaha-usaha juga sedang diambil untuk membangunkan inisiatif pembiayaan hutang-ekuiti dan pembiayaan gabungan bagi membolehkan PKS mendapat akses kepada pelbagai pilihan pembiayaan yang sesuai merentas kitaran pertumbuhan mereka.

“Hal ini penting untuk mengurangkan leveraj serta memperkukuh daya tahan dan kapasiti jangka panjang PKS serta meningkatkan sumbangan mereka kepada ekonomi,” tambah Nor Shamsiah.

— BERNAMA