IRVINE, California – Bekas Presiden A.S. Bill Clinton dimasukkan ke hospital California sejak dua hari lalu akibat jangkitan, kata jurucakapnya.
Clinton, 75, dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti California Irvine kerana jangkitan yang tidak berkaitan dengan Covid pada malam Selasa, menurut Angel Urena menerusi kenyataan.
“Beliau beransur pulih, bersemangat dan sangat berterima kasih kepada doktor, jururawat dan kakitangan yang memberikannya rawatan yang sangat baik,” kata UreƱa.
Dalam kentyaaan berasingan doktor Clinton menyatakan bekas presiden itu diberikan antibiotik dan jumlah sel darah putihnya menurun setelah dua hari menjalani rawatan dan beliau memberi tindak balas yang baik terhadap antibiotik itu.
Clinton akan tinggal di hospital untuk pemantauan berterusan.
CNN melaporkan Clinton berada di unit rawatan intensif untuk memberinya privasi dan beliau tidak menggunakan mesin pernafasan seperti dimaklumkan doktor yang merawat bekas presiden itu.
Sejak Clinton meninggalkan Rumah Putih pada 2001, beliau menghadapi masalah kesihatan.
Pada 2004, beliau menjalani pembedahan pintasan sebanyak empat kali setelah mengalami sakit dada yang berpanjangan dan sesak nafas.
Clinton kembali ke hospital untuk menjalani pembedahan paru-paru dan pada tahun 2010 terdapat sepasang stent yang ditanamkan di arteri koronari.
Berikutan itu Clinton mengamalkan diet vegan dan beliau dilihat mengalami penurunan berat badan dan dilaporkan kesihatannya semakin baik. – Agensi