Home Nasional Wujudkan jawatankuasa khas sesi pendengaran awam Pandora Papers

Wujudkan jawatankuasa khas sesi pendengaran awam Pandora Papers

Lim kit siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang mencadangkan pindaan peraturan mesyuarat diletakkan sebagai perkara pertama dalam aturan urusan apabila Dewan Rakyat bersidang semula pada 25 Oktober ini.

Selain itu, sebuah jawatankuasa pilihan khas diberikan tugas untuk mengadakan sesi pendengaran awam berhubung dakwaan Pandora Papers.

”Jadikan Parlimen Malaysia sebagai Parlimen pertama di dunia yang menyiasat dengan mendalam dakwaan Pandora Papers,” katanya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Menurut beliau, Parlimen Malaysia perlu bergerak seiring dengan perkembangan Parlimen antarabangsa dan mengadakan sesi pendengaran awam secara berkala bagi menyemak setiap tindak tanduk kerajaan.

Kit Siang berkata, ia akan menjadi usaha yang sia-sia jika peraturan mesyuarat tidak dipinda untuk membenarkan sesi pendengaran awam diadakan.

Menurutnya, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mencadangkan pembentukan sembilan jawatankuasa pilihan khas, iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kebebasan Asasi dan Hak-hak di bawah Perlembagaan; Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi; Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan; Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri, Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur; Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan; Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi; dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak dan Pembangunan Sosial.

Malah, terdapat satu lagi jawatan kuasa pilihan khas yang baharu iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Antarabangsa.

“Namun, tiada satu pun jawatankuasa ini akan berfungsi secara berkesan, bukan hanya kerana tindakan tidak berpelembagaan kerajaan menggantung Parlimen, malah turut dibatasi oleh peraturan mesyuarat yang sudah lapuk dan usang.

“Peraturan Mesyuarat sedia ada membataskan jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk memainkan peranan yang lebih penting dan bermakna bagi menyemak setiap tindak tanduk kerajaan,” ujarnya.

Mengambil contoh Parlimen Australia yang mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berhubung wabak Covid-19 yang ditubuhkan sejak 2020 April.

Ia  telah melaksanakan lebih 50 pendengaran awam sepanjang 18 bulan lalu berkenaan respons Kerajaan Australia dalam menangani penularan wabak di negara itu dan ini adalah amalan Parlimen yang terbaik yang harus dicontohi Parlimen Malaysia.

“Mungkin, jika amalan Parlimen terbaik diterapkan di negara ini dengan melaksanakan semak dan imbang yang berkesan terhadap tindak tanduk eksekutif, nescaya Malaysia tidak akan mengalami mimpi ngeri wabak Covid-19 yang menghantui negara sejak 10 bulan lalu sejak pengisytiharan darurat pada 11 Januari dengan alasan untuk melawan Covid-19.

“Saya agak bingung apabila melihat prestasi Malaysia lebih buruk berbanding Indonesia, seperti yang digambarkan dengan angka jangkitan dan kematian akibat Covid-19, di mana Indonesia mencatatkan 1,053 kes baharu Covid-19 dan 37 korban semalam, sementara Malaysia mencatatkan 8,083 kes baharu dan 88 kematian pada hari yang sama- situasi yang sudah berlarutan lebih seminggu,” jelasnya lagi.

Kit Siang berkata, pendengaran awam mampu dijadikan medium penjelasan di hadapan jawatankuasa pilihan khas.

“Contohnya, jika menteri kesihatan hadir untuk memberi penjelasan, ia mampu untuk memastikan prestasi perkhidmatan awam menjadi lebih baik dan cekap.

“Ini sebabnya mengapa saya, semalam, mencadangkan aturan urusan pertama Dewan Rakyat apabila bersidang semula pada 25 Oktober perlulah menyentuh mengenai pindaan Peraturan Mesyuarat bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains, dan Inovasi untuk mengadakan pendengaran awam secara mingguan mengenai respons kerajaan terhadap wabak Covid-19,” katanya.

Ini akan memastikan Parlimen Malaysia dapat memainkan peranan yang bermakna dan penting bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang berkesan dan cekap, dan bukannya sekadar menjadi tempat untuk melepaskan batuk di tangga.

Jelas veteran DAP ini lagi, United Kingdom membenarkan semua jawatankuasa pilihan khas membentang bukti yang sewajarnya kepada umum.

“Selalunya, jawatankuasa tersebut akan bertemu dalam mesyuarat tertutup untuk tempoh masa yang singkat sebelum membentangkan bukti-bukti tersebut, yang mana ia boleh diakses dengan mudah oleh orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette