KUALA LUMPUR – Para pengembara dari luar negara yang sudah lengkap bervaksinasi Covid-19 akan menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari.
Langkah terbaharu Kementerian Kesihatan (KKM) itu seleras dengan kenyataan media Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertarikh 15 Oktober lalu mengenai Pengurangan Tempoh Kuarantin Wajib Pengembara dari luar negara serta Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Rapat yang akan berkuatkuasa pada Isnin ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, mereka yang telah lengkap vaksinasi Covid-19 akan menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari.
“Manakala mereka (pengembara) yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19, perlu menjalani tempoh kuarantin selama 10 hari.
“Mereka yang terlibat adalah mana-mana warganegara, pemastautin tetap Malaysia, ekspatariat atau kor diplomatik atau mana-mana orang asing lain yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen memasuki Malaysia dari luar negara; kontak rapat kepada kes positif Covid-19; individu yang diberi perintah pengawasan dan pemerhatian oleh pegawai diberi kuasa, contohnya individu yang pulang dari kawasan berisiko tinggi berlaku penularan jangkitan seperti yang diumumkan oleh Kerajaan,” katanya beliau dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Rembau itu lagi, semua individu yang dinyatakan tertakluk kepada pengurangan tempoh kuarantin wajib ini berkuatkuasa pada 18 Oktober 2021.
Bagi tujuan menyelaras dan memastikan kelancaran pelaksanaan tempoh kuarantin baharu ini, katanya KKM menggariskan beberapa ketetapan yang harus dipatuhi pengembara dari luar negara.
“Semua individu yang diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian oleh pegawai diberi kuasa bermula pada 18 Oktober 2021, akan menjalani kuarantin tujuh hari bagi mereka yang lengkap vaksinasi Covid-19 dan 10 hari bagi yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi.
“Bagi individu yang sedang menjalani kuarantin wajib, mereka akan diberi Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Release Order) mengikut tempoh kuarantin baharu yang telah diumumkan, bagaimanapun ujian RT-PCR perlu dijalankan sebelum Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian.
“Sehubungan itu, bagi individu yang sedang menjalani kurantin wajib hari ke-5 dan ke atas serta telah lengkap vaksinasi COVID-19, mereka akan menjalani ujian RT-PCR bermula hari ini.
“Sekiranya keputusan ujian pengesanan COVID-19 adalah negatif, mereka akan diberikan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian pada 18 Oktober ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairy juga memaklumkan individu yang tidak mengambil vaksin atau tidak lengkap vaksinasi Covid-19 dan sedang menjalani kurantin wajib hari kelapan dan ke atas boleh menjalani ujian RT-PCR bermula hari ini.
Menurut beliau, sekiranya keputusan ujian pengesanan Covid-19 adalah negatif, mereka akan diberikan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian pada 18 Oktober 2021.
“KKM ingin memaklumkan bahawa garis panduan sedia ada yang berkaitan masih terpakai dan orang awam diingatkan untuk mematuhi garispanduan yang telah ditetapkan.
“Kegagalan untuk mematuhi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian ini, merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” tegas beliau.- MalaysiaGazette