Home Nasional Menghukum antivaksin langkah sombong – Anwar

Menghukum antivaksin langkah sombong – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto SYFAIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2021.

RAWANG – Kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa kerajaan akan menghukum golongan yang enggan menerima vaksin Covid-19 disifatkan satu langkah sombong oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, untuk kerajaan memastikan semua rakyat di negara ini menerima vaksin adalah dengan menggunakan kaedah merayu dan mendidik golongan ini mengenai kelebihan vaksin bagi menentang Covid-19.

“Saya tidak setuju (nak dakwa golongan antivaksin), ini pemikiran Menteri kira nak dakwa orang saya, dia tidak fikir bahawa orang pun nak dakwa dia,” katanya menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Khairy semalam.

Semalam, Khairy memberitahu, Kementerian Kesihatan komited untuk terus menggalakkan lebih ramai rakyat menerima vaksin malah akan ‘menyusahkan’ kehidupan harian golongan anti-vaksin jika mereka terus menolak penerimaan vaksin.

Beliau berkata, walaupun vaksin tidak diwajibkan namun kerajaan tidak akan memberi muka kepada golongan anti-vaksin kerana mereka sendiri memilih untuk menolak vaksin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan harus menggunakan pendekatan halus tanpa sebarang kekerasan kepada golongan ini.

Jelas beliau, menolak vaksin bukan merupakan satu kesalahan besar di sisi undang-undang.

“Soalnya ada masa saya tanya pakar, kita kena dekati dan terangkan selesaikan dahulu yang mahu terima vaksin. Yang sedikit itu kita harus dekati mereka dan cuba memberikan penerangan tapi bukan mudah.

“Tetapi undang-undang tidak menyatakan mereka salah, jadi macam mana kita boleh berikan tekanan dalam keadaan undang-undang kata mereka tidak salah,” jelas Anwar lagi. – MalaysiaGazette