KUALA LUMPUR – Pemilihan calon UMNO yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lagi ditentukan oleh presiden parti sahaja.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya perkara itu akan diputuskan bersama dengan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Ertinya kami bertiga bersetuju (calon yang akan dipilih) mestilah (individu yang) boleh menang, diterima dan disenangi pengundi,” katanya semasa menutup Pidato Piala Presiden UMNO hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata, watikah pelantikan bagaimanapun tidak akan ditandatangani sekiranya calon terbabit tidak dipersetujui di peringkat BN. – Bernama