KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetahui penyalahgunaan dan penyewelengan dana Yayasan Akalbudi sejak 2014.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, terdapat penyewelengan dalam akaun semasa dan tujuh akaun deposit tetap yang diamanahkan kepada bekas Timbalan Perdana menteri itu.
“Perkara ini juga telah dibuktikan melalui keterangan oleh saksi ke-90, Mejar Mazlina Mazlan. Antara keterangan Mazlina termasuklah bagaimana Ahmad Zahid akan memerikasa penyata bank serta buku cek sekali atau dua tahun sekali.
“Pembelaan cuba mendakwa Ahmad Zahid tidak tahu dan cuba menuding jari kepada Mazlina yang juga bekas Setiausaha tertuduh. Mereka cuba menjadikan saksi ini sebagai kambing hitam untuk penyalahgunaan ini,” katanya ketika berhujah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.
Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan dana Yayasan Akalbudi miliknya.
Menurut Raja Rozela, Mazlina adalah saksi pendakwaan yang boleh dipercayai dan jawapan yang beliau beri ketika disoal balas oleh pihak pembelaan, pemeriksaan utama dan pemeriksaan semula adalah konsisten.
Tambah beliau, berikutan laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap Ahmad Zahid pada 2016 menyebabkan Mazlina diarah oleh tertuduh agar tidak menggunakan cek Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kredit.
Sebaliknya bayaran dijelaskan secara tunai, ujarnya.
“Mazlina telah mematuhi semua arahan Ahmad bermasuklah isu penggunaan cop tanda tangan untuk pembayaran kad kredit. Beliau adalah pegawai tentera dan sentiasa menurut arahan serta soal langgar arahan secara terus tidak akan berlaku.
“Kalau cuai sekalipun dalam pengendalian kad kredit tertuduh, tiada pula bukti yang mengaitkan dirinya berniat jahat terhadap tertuduh yang juga telah berkhidmat lebih tujuh tahun dengan tertuduh,” katanya.
Raja Rozela turut memohon mahkamah supaya menerima keterangan Mazlina yang pada hematnya sangat bertanggungjawab dalam mengendalikan semua urusan cek Yayasan Akalbudi.
Prosiding bersambung Rabu ini. – MalaysiaGazette