Home Nasional Gadis lesap RM41,500 ditipu sindiket aplikasi cari kerja

Gadis lesap RM41,500 ditipu sindiket aplikasi cari kerja

Wong ( kiri ) bersama ADUN Bukit Batu Jimmy Phua ketika ditemui di Kulai, Johor hari ini.

KULAI – Seorang kerani mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket menawarkan komisen melalui aplikasi mencari pekerjaan yang akhirnya melesapkan wangnya sebanyak RM41,500.

Mangsa berusia 24 tahun yang mahu dikenali sebagai Wong mengetahui mengenai aplikasi tersebut menerusi sebuah laman Facebook .

Pada mulanya, dia ditawarkan komisen yang menarik sekiranya menyertai iklan yang dipaparkan dan perlu mendaftar untuk memasuki pautan yang dikongsi di aplikasi terbabit.

“Niat saya mahu mencari duit lebih untuk dapat duit sampingan dan bantu keluarga. Jadi pada 13 Oktober lalu, saya tanpa fikir panjang saya terus daftar di pautan berkenaan kerana memikirkan komisen yang saya peroleh agak tinggi selain ia hanya boleh dilakukan menerusi telefon bimbit sahaja,” katanya ditemui pada sidang media di Pejabat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri Bukit Batu di sini hari ini.

Pautan itu melalui mesej daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Kata Wong, dia juga ditawarkan komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap produk yang ditawarkan dalam aplikasi yang sama dengan syarat dia menyertai permainan yang terdapat di dalamnya.

“Apabila selesai daftar saya mula bermain satu permainan di mana dijanjikan akan mendapat komisen dan pelbagai ganjaran.

“Dalam aplikasi itu ada jam, kerusi urut, telefon bimbit dan banyak lagi dan saya telah bermain 45 kali bagi mendapatkan semua ganjaran termasuk ingin mengejar komisen dan saya telah memasukkan wang sebanyak RM41,500 kepada dua akaun bank berbeza,” katanya.

Wong kemudiannya menuntut komisen yang sepatut diterimanya berjumlah RM509,341 seperti dijanjikan.

“Apabila saya meminta wang itu, individu terbabit memaklumkan saya telah terlepas masa kerana perlu mendapatkan duit sebelum pukul 10 malam pada tarikh sama.

“Pada hari yang sama juga, individu itu meminta saya bermain sebanyak 10 kali dan berjanji akan memulangkan semula semua duit saya, bagaimanapun saya perlu membayar mereka sebanyak RM10,000.

“Tetapi saya waktu itu tidak membayarnya kerana merasakan telah ditipu,” katanya yang kemudian telah membuat laporan di Balai Polis Kapa Sawit dekat sini Khamis lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse menasihatkan orang ramai terutama anak muda supaya tidak mudah terpedaya dengan keistimewaan yang ditawarkan di laman-laman sosial.

“Seperti situasi Wong, kita faham dalam keadaan hari ini ramai perlukan duit tambahan. Ada masa mangsa memang tidak berfikir kesannya sehingga mereka mengalami kerugian,” katanya dalam sidang media yang sama.

Oleh itu, Jimmy berharap polis menyiasat mengenai kewujudan aplikasi tidak bertanggungjawab dan menipu orang ramai. -MalaysiaGazette