KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan dirinya enggan berdebat dengan Lim Guan Eng.
“Adoi! Apa sudah jadi dengan YB Lim Guan Eng? Kalau nak berdebat saya ok saja. Memang dari dulu saya ok, tak pernah tolak dan tak pernah tak hadir.
“Saya dah kata sebelum ini, pilihlah mana-mana tarikh selepas pembentangan Belanjawan 2022,” katanya dalam hantaran media sosialnya semalam.
Menurut Presiden MCA itu merujuk kepada kenyataan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP seolah-olah dirinya takut berdebat dengannya.
Menurut Ka Siong, penerbit TV3 juga telah menghubungi pejabatnya dan mencadangkan 2 November ini sebagai tarikh debat dan beliau menyetujuinya.
“Tak payahlah Guan Eng nak pandai-pandai nak reka cerita kononnya saya telah wujudkan satu WhatsApp group antara saya, Guan Eng dan Speaker Dewan Rakyat. Ini terbukti niat buruk! Buat apa saya nak wujudkan WhatsApp group ini? Takde kerja lain ke?” soalnya.
Beliau juga mahu Guan Eng agar bertenang dan menghentikan fitnah yang dianggapnya tidak profesional.
“Nak debat, marilah! Saya sedia menanti. Kita hormati cadangan tarikh penerbit TV3. Kalau tarikh tentatif tak sesuai, ubah saja tarikh bila Guan Eng ada kelapangan. Nak berdebat selepas 2 November 2021 pun saya ok,” katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Mana cabaran Kia Siong mahu berdebat dengan saya? – Guan Eng