KUALA LUMPUR – Dua pekerja warga Bangladesh mengalami kecederaan selepas kedai buah di bangunan dua tingkat tempat mereka bekerja musnah dijilat api dalam kejadian di Jalan 11/62A, Bandar Manjalara Kepong, awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada orang awam kira-kira pukul 2.03 pagi.
Katanya, sejurus menerima panggilan itu beberapa anggota dengan membawa bersama jentera ke lokasi kejadian.
Setibanya pasukan di lokasi didapati terdapat dua individu terperangkap di dalam kedai tersebut.
“Kita berjaya mengeluarkan kedua-dua mereka yang merupakan pekerja di kedai buah-buahan berkenaan. Kedua-dua pekerja itu yang berusia 30 dan 56 tahun mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanan dan berjaya dikeluarkan dengan selamat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ujarnya, kedua-dua mangsa dihantar oleh pihak ambulans ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Kebakaran berjaya dikawal menggunakan teknik pemadaman pancutan tiga aliran, dua Attacking dan satu Deffensive, katanya.
Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pukul 3.16 pagi dan kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan.
Setakat ini, bomba masih lagi mengenal pasti punca kejadian itu berlaku. – MalaysiaGazette